PERJALANAN Terengganu FC dalam saingan Piala AFC berakhir di peringkat kumpulan walaupun berjaya mendapatkan rekod baik dalam kejohanan kali ini.
Menang 2-0 ke atas wakil Indonesia, Bali United dalam aksi terakhir peringkat kumpulan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, skuad Tomislav Steinbruckner gagal untuk mara walaupun mencatatkan rekod tanpa kalah di Asia.
Sony Norde menjaringkan gol pertama skuad Penyu pada separuh masa pertama menerusi satu rembatan padu sebelum Sardor Kulmatov memastikan Terengganu menang dengan jaringan di penghujung permainan.
Dengan kekalahan ini, Terengganu mengikuti langkah Johor Darul Takzim (JDT) tersingkir awal dari kejohanan Asia. Kini, cabaran Malaysia terletak pada bahu Sabah FC untuk dipikul sendirian.
Dalam pada detik duka tersingkir, penyokong Terengganu dapat melihat sesuatu yang jarang disaksikan sebelum ini menerusi pemain mereka iaitu Sony Norde.
Norde sebelum ini dikenali sebagai pemain yang 'tamak' dan kurang gemar menghantar bola kepada rakan sepasukan bertukar menjadi seorang yang mengutamakan pasukan atau team player.
"Aksi paling baik apabila Sony Norde tidak tamak. Nak kena jadikan dia kapten je selalu lepas ni," kata penyokong bernama Fakhrul Iswandi.
"Secara keseluruhannya terbaik, Sony Norde tak tamak kali ni. Banyak main one-two pass," ujar Syawal Awal.
"Laju (rembatan) dan cantik gol Sony Norde," komen Ikhwan Hanafi terhadap gol pemain tersebut.
Dalam pada pujian diberikan kepada Norde, kritikan dilemparkan terhadap penyerang Syahmi Zamri. Pemain tersebut dilihat begitu sukar untuk menyempurnakan peluang-peluang dimilikinya.
Malah, ada yang mengatakan penyudah Syahmi mula tumpul dan tidak mampu menggerunkan pihak lawan.
"Syahmi Zamri memang tumpul. 10 kali dah depan gol tak boleh nak jaringkan," komen penyokong bernama Mokopo Epiko.
"Syahmi Zamri berat nanang. Berat sungguh," kata Rumah Atap.
"Betullah tu Terengganu ni penyudah bermasalah. Yang lain semuanya elok dah," ujar Naz Penyu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram