Memang kecewa, jika saya buat salah beritahu tapi jangan buat begini — Faisal Halim


  • Podium
  • Ahad, 11 Mei 2025

Insiden serangan asid itu meninggalkan parut hebat dari segi fizikal dan mental buat Faisal Halim.

SELEPAS lebih setahun kes simbahan asid menimpa, Faisal Halim yang menjadi mangsa sudah tentu masih terkesan kerana insiden tersebut membataskan pergerakan di atas padang selain meninggalkan kesan hebat dari segi fizikal dan mental.

Lebih diburukkan lagi, peguam yang mewakili bintang Selangor FC tersebut baru-baru ini menyatakan kes berkenaan sudah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut atau 'No Further Action' (NFA).

Keputusan tersebut mengundang rasa kurang puas hati daripada orang ramai yang mempersoalkan kesungguhan pihak berkuasa untuk memburu suspek serta usaha membela keadilan buat Faisal Halim.

BACA LAGI: 'Saya ada keluarga nak ditanggung,' Faisal Halim mahu lupakan kes simbah asid, fokus bola sepak

BACA LAGI: Malaysia banyak labur terhadap Faisal Halim, Hannah Yeoh lega siasatan diteruskan

Faisal akan terus berjuang demi masa depan dan kariernya.

Perasaan sama turut dikongsikan penyerang sayap kebangsaan itu yang mengharapkan mana-mana pihak mempunyai masalah peribadi dengannya supaya berbincang dengan cara lain dan tidak berbuat sedemikian.

"Sudah tentu saya sebagai mangsa, sudah tentu kecewa. Tetapi, apa sahajalah yang boleh saya katakan? Perkara pun sudah berlaku, sudah lepas. Saya berharap berilah saya kembali ke dalam kancah bola sepak.

"Kalau ada yang tidak kena dengan saya, beritahu dan jangan anaiya saya. Saya tiada salah silap dengan siapa-siapa. Kalau kita ada buat salah dan silap, kita perlu beritahu berbanding lakukan hal sebegini terhadap saya," katanya.

Faisal berkata demikian kepada media semasa Kejohanan Terbuka U12 Piala Faisal Halim 2025 di Mengkuang Titi, Pulau Pinang pada Sabtu dengan riak wajahnya amat pilu, namun masih kuat meluahkan perasaannya.

Insiden menimpa pemain berusia 27 tahun itu pada 5 Mei tahun lalu memberi impak hebat dalam karier dan kehidupannya selepas dia terpaksa melupakan peluang bermain untuk kira-kira tiga bulan.

Kebangkitan Faisal disedari Cklamovski yang kembali memberinya peluang dalam skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, selepas sembuh dan dibenarkan kembali ke atas padang, senyuman di wajah pemain bertubuh kecil itu kembali meskipun ramai mengakui kebolehan dan sentuhannya tidak lagi seperti dahulu.

"Walaupun orang nampak saya boleh bermain, pengorbanannya itu hanya saya yang tahu. Tetapi, saya percaya dengan usaha dan keikhlasan saya beraksi, perjuangan ini akan diteruskan selagi mana mampu," katanya lagi.

Sejak kembali ke atas padang, Faisal Halim sudah mencetak jaringan semasa meledak hatrik dalam aksi menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC pada Mac lalu yang menyuntik kepercayaan buatnya.

Ini kerana tidak lama selepas itu, pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski meletakkannya dalam senarai bagi aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

Keazaman dan sokongan diterima penyerang sayap tersebut sudah tentu diharapkan mampu mengembalikannya ke tahap sebenar dengan peminat bola sepak mengharapkan perkara sama. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp Channel dan Telegram