'Beri saya 100 hari berjumpa semua pihak', Tengku Zafrul sah dipilih Presiden BAM


  • Podium
  • Sabtu, 10 Mei 2025

Pemilihan Tengku Zafrul (tengah) yang juga seorang senator itu disahkan menerusi hantaran dibuat di akaun Facebook rasmi BAM.

MENTERI Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, dipilih sebulat suara sebagai presiden baru Persatuan Badminton (BAM) dalam Mesyuarat Agung Tahunan yang ke-80 badan induk itu pada Sabtu.

Pemilihan Tengku Zafrul yang juga seorang senator itu disahkan menerusi hantaran yang dibuat di akaun Facebook rasmi BAM.

"Tahniah diucapkan kepada Senator Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz atas pemilihan sebulat suara sebagai Presiden BAM bagi penggal 2025–2029," tulis kenyataan itu.

BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal

BACA LAGI: 'Yuna peminat Liverpool', tak sampai setahun beroperasi, pasangan suami isteri di Klang pendam impian mahu setanding syarikat jersi di UK

Untuk rekod, Tengku Zafrul pernah menjawat jawatan Menteri Kewangan dari 2020 hingga 2022 selain pernah mengemudi deretan syarikat gergasi korporat tanah air.

Jawatan presiden BAM kosong selepas penyandang terdahulu, Tan Sri Norza Zakaria, melepaskan jawatan itu pada Ogos tahun lalu.

Dalam pada itu, menurut laporan The Star, Tengku Zafrul mengakui memegang tanggungjawb sebagai peneraju badan sukan badminton negara itu bukan satu tugas yang mudah.

"​​Ia adalah tanggungjawab yang berat, tetapi saya teruja dan tidak sabar untuk bekerjasama dengan seluruh keluarga BAM untuk memartabatkan sukan yang kita semua suka ke tahap yang lebih tinggi.

"Saya tahu ramai yang berada di sini hari ini tidak sabar mendengar visi saya untuk BAM. Saya meminta anda memberi saya 100 hari. Saya berhasrat untuk menggunakan masa ini untuk bertemu dan melibatkan diri secara mendalam dengan semua pihak berkepentingan termasuk pemain, kedua-dua senior dan junior, jurulatih, persatuan negeri dan penaja.

"Pada asasnya semua orang yang mempunyai kepentingan dalam masa depan BAM," kata Tengku Zafrul.

Ujarnya, tempoh itu diperlukan untuknya mendengar, memahami, dan meneliti pandangan, cadangan dan cabaran secara menyeluruh dari semua perspektif.

"Saya percaya pendekatan inklusif ini adalah kunci untuk membangunkan pelan hala tuju yang komprehensif dan realistik.

"Selepas tempoh 100 hari, insya-Allah, saya akan membentangkan visi strategik dan pelan tindakan terperinci saya, bersama-sama pasukan kami di sini di BAM. Saya sedar setiap organisasi, terutamanya badan sukan negara seperti BAM, mempunyai cabaran tersendiri," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram