Malaysia banyak labur terhadap Faisal Halim, Hannah Yeoh lega siasatan diteruskan


  • Podium
  • Jumaat, 09 Mei 2025

Suspek dan motif di sebalik serangan asid ke atas Faisal masih belum dikenal pasti pihak polis.

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh lega siasatan terhadap kes pemain bola sepak kebangsaan negara iaitu Faisal Halim masih diteruskan selepas ramai gusar dengan status tiada tindakan lanjut atau No Further Action (NFA) yang dikeluarkan pihak polis.

Sebelum ini, peguam yang mewakili Faisal menyatakan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengklasifikasikan kes tersebut sebagai NFA kerana tiada sebarang bukti baharu diperolehi berhubung siasatan.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Genap setahun peristiwa banyak ajar saya', Faisal Halim kental pamer karakter ‘true warrior’

BACA LAGI: Kes simbahan asid diklasifikasi NFA, Faisal Halim kecewa tapi faham

“Apa yang berlaku kepada Faisal Halim adalah jenayah berat sangat serius dan dia adalah aset  penting negara. Jadi saya  berharap pihak polis tidak terhenti seperti itu.

"Saya ada (baca) kenyataan polis, mereka kata NFA tidak bermaksud siasatan dihentikan. Jadi saya lega kerana siasatan masih diteruskan dan berharap mereka akan mengerahkan lebih banyak tenaga untuk mencari pihak yang bertanggungjawab.

"Ini kerana pelaburan negara terhadap Faisal sudah banyak dan nasib baik dia selamat dan boleh bermain tetapi saya rasa, tidak wajar perkara seperti ini berlaku kepada atlet kita.

“Saya harap pihak polis akan siasat sampai dapat," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Piala Asia Persatuan Sepak Takraw Asia (Astaf) di sebuah hotel, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Peguam yang mengendalikan kes serangan asid kepada Faisal Halim. — Berita Harian

Dalam sidang media pada Khamis, peguam Mohd Haijan Omar memaklumkan kes serangan asid membabitkan Faisal itu sudah diklasifikasikan sebagai NFA namun Jabatan Peguam Negara (AGC) memiliki budi bicara dan kuasa mutlak untuk membuka kes terbabit sekiranya terdapat perkembangan terbaharu dalam siasatan.

Pada 5 Mei tahun lalu, Faisal yang berada di sebuah pusat membeli belah menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali dengan kes itu menggemparkan pelbagai pihak.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), serangan dilakukan seorang individu yang kemudian melarikan diri menggunakan sebuah motosikal bersama seorang lagi rakannya.

Hannah ketika ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Piala Asia Persatuan Sepak Takraw Asia pada Jumaat. — Facebook/PSM

Siasatan kemudiannya dilakukan pihak polis sebelum diambil alih Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman, namun tiada sebarang bukti baharu bagi memburu suspek terlibat.

Dalam pada itu, peguam kepada Faisal menjelaskan pemain berkenaan kecewa akan perkembangan tersebut, namun faham sambil menegaskan dia bersedia untuk bekerjasama sekiranya terdapat sebarang perkembangan dalam hal tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram