
SKUAD beregu negara mengesahkan kelayakan ke pusingan separuh akhir Piala Asia Astaf hasil kemenangan ke atas Chinese Taipei dalam aksi terakhir Kumpulan B pada Ahad.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur itu menyaksikan gandingan Noraizat Nordin dan Aidil Aiman Azwawi mudah mengatasi lawan dengan keputusan 15-11 dalam set pertama.
Namun, pada set kedua, perubahan dengan memasukkan Redwan Hakim Muhammad kurang memuaskan apabila pasukan negara ketinggalan 12-14 yang memberi tekanan besar.
BACA LAGI: Piala Asia Astaf: Kelebihan laman sendiri, kualiti pasukan buatkan negara berpeluang cerah
BACA LAGI: Piala Asia ASTAF: Bagai langit dan bumi, Malaysia-Thailand berdepan undian berbeza
Noraizat pasti berbangga akan keputusan dan kebangkitan dipamerkan skuad beregu negara.
Bagaimanapun, perubahan dapat disaksikan apabila Noraizat kembali dimasukkan, sekali gus membolehkan skuad negara mengesahkan kemenangan dengan keputusan 17-14.
Kejayaan itu memastikan kemaraan beregu negara ke pusingan separuh akhir dengan mereka bakal berdepan India pada Isnin yang turut menjanjikan debaran hebat.
Mengulas mengenai perlawanan terbabit, Noraidil menjelaskan kekalahan kepada Thailand sebelum ini masih memberi kesan, baik dari segi mental mahupun fizikal kepadanya.
"Pertama kali, Alhamdulillah dapat menang ke atas Chinese Taipei. Tetapi, persembahan hari ini sedikit menurun kerana kita sudah memberi yang terbaik semalam, sakit badan itu masih dirasakan.
"Tetapi, itu bukanlah alasan bagi kami semua. Jadi, tadi mungkin ada sedikit kesilapan dengan mereka banyak melakukan hadangan. Kami ambil itu sebagai iktibar," katanya.
Tegasnya, setiap kesilapan yang berlaku perlu dielakkan semasa berdepan India sambil menegaskan pasukan beregu negara akan memberi persembahan terbaik demi kejayaan pasukan.
Loncatan itu turut diharapkan jurulatih beregu negara, Aswadi Abdullah yang mahu menyaksikan persembahan lebih baik ketika berdepan India di pusingan separuh akhir nanti.
"Kita terpaksa buat perubahan kerana seperti mana kita lihat, sepakan Hakim dapat dihadang sebanyak tiga kali. Jadi, kita perlu masukkan Noraizat kembali.
"Tekanan berbeza dalam setiap perlawanan, cuma harapan kami dalam barisan kejurulatihan adalah kita mahu menyaksikan persembahan sebenar daripada Noraizat dan Aidil Aiman," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram