Selangor sertai Liga S? Lebih banyak rugi berbanding untung, lagi-lagi kesinambungan ‘ubi muda’


  • Podium
  • Selasa, 29 Apr 2025

Skuad muda Gergasi Merah disebut-sebut akan ke Singapura bagi memberi minit permainan kepada 'ubi muda' pasukan. — Facebook/Selangor FC

KEPUTUSAN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk membubarkan Piala MFL pada awalnya menerima sokongan peminat kerana ramai beranggapan kejohanan buat pemain Bawah 23 Tahun (B-23) itu membawa beban kewangan kepada semua pasukan.

Bagaimanapun, di sebalik kelegaan tersebut, timbul pula persoalan mengenai tanda tanya berhubung masa depan pemain muda yang memerlukan minit permainan untuk membuktikan kebolehan masing-masing.

Jadi, dalam usaha menyelesaikan perkara tersebut, terdapat ura-ura mengatakan beberapa kelab tempatan mengambil inisiatif tersendiri dengan meletakkan skuad muda mereka ke mana-mana liga bersesuaian.

BACA LAGI: Sudah masuk penghujung karier, 3 kuda tua masih rancak beraksi di Piala MFL 

BACA LAGI: Hebat dalam Piala MFL, tak mustahil 4 'ubi muda' Selangor naik pangkat

Liga Singapura disebut-sebut sebagai destinasi skuad muda Gergasi Merah berikutan pembubaran Piala MFL. Facebook/Singapore Premier League

Ini termasuk Selangor FC yang dilaporkan bersedia menghantar pasukan B-23 ke Liga Singapura dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Dr Johan Kamal Hamidon bertegas untuk berbuat demikian.

Meskipun tiada sebarang perbincangan dibuat bersama AFC, pemaklmuman sudah dibuat terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menyatakan hasrat bersaing di negara jiran itu.

Persoalannya, adakah langkah tersebut mampu membuahkan hasil seperti mana diharapkan atau keputusan itu hanya akan membawa kerugian besar dari segi kewangan buat skuad Gergasi Merah?

Menjawab akan tanda-tanya itu, pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berkata, walaupun terdapat kelebihan daripada pendekatan tersebut, namun tidak menafikan kekurangan bakal berlaku lebih membebankan.

"Kita perlu tanya diri, adakah Liga Singapura benar-benar memberi cabaran tinggi kepada pemain muda Selangor? Dari segi kewangan kelab pula, untuk pergi ke Singapura, belanja akan menjadi dua ke tiga kali ganda lebih tinggi.

Zulakbal beranggapan kos perlu dilaburkan untuk Selangor FC ke Liga Singapura terlalu tinggi.

"Ini dari segi kos hotel, makanan, pengangkutan, yuran liga dan sebagainya. Jadi, adakah 'ubi muda' selama ini tidak dapat pendedahan mencukupi dalam liga tempatan?" soalnya kepada Majoriti.

Selain berhasrat beraksi dalam liga seberang, terdapat juga ura-ura mengatakan kelab Lembah Klang itu akan menghantar pasukan bersaing dalam Liga A1 Semi Pro di samping Johor Darul Ta'zim (JDT) II dan Harimau Muda.

Bagaimanapun, Liga Bola Sepak Amatur (AFL) sebagai badan pengelola masih belum memberi sebarang kata putus dengan penyertaan ketiga-tiga mereka akan membawa makna baharu terhadap saingan berkenaan.

Jadi, sekiranya mereka tidak boleh menerima skuad muda Gergasi Merah, terdapat kemungkinan mereka terpaksa menghantar pasukan ke Liga Singapura dengan harapan ia memberi manfaat kepada 'ubi muda'.

Dalam pada itu, Zulakbal turut melihat persoalan mengenai kesinambungan pemain ke dalam skuad senior kerana kegagalan berbuat demikian tidak akan membawa sebarang manfaat kepada kelab berkenaan.

Pembubaran Piala MFL menimbulkan masa depan mengenai pemain muda yang memerlukan platform membuktikan bakat. Facebook/MFL

"Itu adalah langkah yang baik, tetapi ia menelan kos tinggi setiap kali mahu bermain di sana dan sebagainya. Selain itu, selepas bermain dalam skuad B-23, adakah mereka akan mewakili Selangor FC dalam Liga Super selepas banyak pelaburan dikeluarkan?

"Kemudian, adakah ini langkah jangka masa panjang kerana pemain B-23, selepas dua tahun akan menjangkau usia 25 tahun. Jika bermain lebih lama, umurnya akan terus meningkat. Jadi, saya boleh katakan ia merupakan pelaburan yang kurang berdaya maju," katanya lagi.

Pembangunan Piala MFL sebelum ini bertujuan mengasah bakat muda yang kemudian akan diserap ke dalam pasukan utama, namun cita-cita itu tidak kesampaian kerana kos terlalu tinggi terpaksa dipikul.

Hal itu sedikit sebanyak membuatkan masa depan bakat muda terus kelam, lebih-lebih lagi kerana kelab-kelab Liga Super lebih mempercayai pemain import dalam beberapa musim kebelakangan ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram