
BERDASARKAN khabar angin semasa, Johor Darul Ta'zim (JDT) seolah-olah mahu melakukan rombakan besar-besaran terhadap pasukan dengan beberapa nama akan ditunjukkan jalan keluar.
Pendekatan itu bakal diambil bagi memastikan pasukan berada dalam tahap optimum serta terbaik selaras dengan misi pihak pengurusan untuk menjadi antara kelab terbaik di Asia.
Namun, ramai tidak mengetahui bahawa perubahan drastik juga bakal diambil terhadap pasukan simpanan Harimau Selatan kerana beberapa pemain muda dijangka turut mencari destinasi baharu.
BACA LAGI: Berpotensi sebagus Arif Aiman, ‘ubi muda’ JDT dari Kedah patut dapat panggilan lawan Vietnam
BACA LAGI: Curi 'limelight' pemain senior, larian bekas pelajar SMK Kulim bantu JDT II rangkul trofi Piala MFL
Ruo Han diserap masuk ke dalam akademi Harimau Selatan seawal usia 18 tahun. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Ini termasuk jeneral tengah berusia 23 tahun, Ruo Han yang meninggalkan mesej selamat tinggal di laman Instagram peribadinya berserta gambaran bahawa dia akan berkelana tidak lama lagi.
"Selepas tujuh tahun yang cukup bermakna, sudah tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggi, terima kasih Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Sepanjang alami pasang surut dalam karier dan kecederaan, kelab ini sudah menjaga saya dengan baik. Terima kasih JDT dan jumpa lagi," katanya.
Hantaran yang dibuat pada Khamis itu disertakan puluhan keping foto menampilkan momen-momen terbaiknya sepanjang bersama skuad Harimau Selatan yang sudah tentu sukar dilupakan.
Ini kerana Ruo Han sudah bersama JDT sejak 2018 ketika masih berusia 18 tahun dengan bakatnya mula disedari selepas muncul juara program pencarian bakat Mencari Ramli musim keenam.
Ruo Han menjadi watak utama dalam membantu JDT II menjulang Piala MFL 2024/25. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Sejak itu, pemain kelahiran Kulim, Kedah tersebut berpeluang menikmati momen-momen cemerlang dalam skuad muda Harimau Selatan dengan sebanyak 14 penampilan dalam Piala MFL 2024/25 direkodkan.
Meskipun tidak pernah mencetak gol dan bantuan jaringan, kebolehannya terserlah dalam perlawanan akhir musim ketika berdepan Penang FC II di laman sendiri dengan penyokong terpukau akan potensi dimilikinya.
Kehadirannya dalam skuad kendalian Gonzalo Zaballos itu membantu mereka menjuarai pertandingan Bawah 23 Tahun (B-23) tersebut yang sudah pastinya meningkatkan lagi saham dan kebolehannya di atas padang.
Meskipun tidak pernah berada dalam pasukan utama, Ruo Han pernah menikmati berharga bersama JDT selepas diletakkan dalam skuad Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2021.
Pemergian pemain tersebut pasti dituruti dengan pemergian beberapa nama lain yang mahu mendapatkan minit permainan kerap di liga utama meskipun tahu pengalaman di kelab lain tidak akan sama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram