
DUA orang pemain skuad Terengganu FC (TFC) Bawah 20 tahun (B-20) iaitu Mohamad Ashraf Daniel dan Muhammad Aiman Hakimi Shairul Faizal dilaporkan terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Khamis.
Memetik kenyataan kelab berkenaan, Mohamad Ashraf kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Field Hybrid selepas pemain muda itu dilaporkan mengalami kecederaan serius, termasuk di bahagian kepala serta beberapa bahagian anggota badan yang lain.
Manakala, Muhammad Aiman Hakimi yang turut terlibat dalam insiden tersebut pula dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan dan sudah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan.
BACA LAGI: Terengganu mahu terus ikat Safawi namun berdepan halangan JDT
Pihak Terengganu FC memohon jasa baik seluruh rakyat Malaysia khususnya para penyokong bola sepak tanah air agar sama-sama mendoakan keselamatan dan kesembuhan buat Mohamad Ashraf Daniel.
"Di hari Jumaat yang penuh barakah ini, kami dari Terengganu FC ingin memohon jasa baik daripada semua untuk mendoakan keselamatan pemain TFC FC U-20, Mohamad Ashraf yang kini ditempatkan di Field Hybrid ICU selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya semalam (Khamis).
"Ashraf mengalami kecederaan parah yang melibatkan bahagian kepala dan beberapa bahagian anggota yang lain," memetik kenyataan pada Jumaat.
Berdasarkan pemeriksaan Majoriti, dua 'ubi muda' berkenaan merupakan pemain untuk skuad Piala Presiden Terengganu pada musim ini dengan Mohamad Ashraf bermain di posisi tengah dan Muhammad Aiman Hakimi puka beraksi sebagai penjaga gol.
Untuk rekod, Terengganu kini menghuni tangga ke ketiga Piala Presiden 2025 selepas merekodkan satu kemenangan dan dua seri dalam tiga perlawanan sudah diharungi oleh pasukan Pantai Timur berkenaan.
Perlawanan terakhir skuad Sang Penyu B-20 bertemu Selangor FC menyaksikan keputusan seri tanpa jaringan dicatat pada Rabu lepas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram