Jersi lebih lawa berbanding Harimau Malaya, ‘hype’ gelombang skuad takraw kebangsaan memuncak menjelang Piala Asia


  • Podium
  • Ahad, 04 Mei 2025

Jersi sepak takraw (kiri) menerima pujian daripada penyokong berbanding jersi Harimau Malaya (kanan). — PSM/Malaysia NT

BAHANG menjelang Piala Asia ASTAF 2025 semakin terasa dengan kesemua jaguh sepak takraw seluruh Asia akan berkumpul di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur bermula 10 hingga 18 Mei.

Malah, Malaysia yang akan bertarung sebagai antara pasukan pilihan turut bersedia untuk menggegar dengan mereka menurunkan skuad hampir serupa yang memenangi Piala Dunia ISTAF pada 2024.

Pada Ahad, skuad kebangsaan melancarkan jersi baharu mereka dengan memilih PUMA sebagai pengeluar.

BACA LAGI: Saya harap tiket 'laku keras' masa Piala Asia ASTAF — Datuk Sumali

BACA LAGI: Piala Asia ASTAF: Bagai langit dan bumi, Malaysia-Thailand berdepan undian berbeza

Jersi utama skuad sepak takraw negara. — PSM

Dua jersi bakal disarung oleh skuad kebangsaan dengan jersi utama akan menggunakan warna kuning sebagai warna utama selain hitam dan putih menghiasi bahagian bahu.

Sementara bagi jersi kedua pula akan menggunakan warna hitam sebagai warna utama sambil warna kuning diletakkan pada bahagian bawah lengan.

Melihat kepada jersi tersebut, ia mendapat reaksi sangat positif daripada kalangan penyokong. Ia jelas mencetuskan hype menjelang kejohanan peringkat Asia yang pertama kali dianjurkan.

Bukan saja pengikut sukan bola rotan, malah penyokong bola sepak turut teruja menyaksikan jersi baharu skuad sepak takraw negara.

Malah, mereka berasakan ia jauh lebih cantik berbanding jersi Harimau Malaya yang menerima kritikan negatif walaupun ia dihasilkan oleh pengeluar serupa.

"Lagi cantik daripada jersi Harimau Malaya," kata Dinesh Roy.

"Baju takraw lagi lawa daripada jersi bola," ujar Wazir Omar pula.

Jersi kedua skuad sepak takraw negara. — PSM

Disebabkan itu, ramai mula bertanyakan di manakah mereka boleh mendapatkan jersi tersebut. Hal ini kerana, mereka semua mahu menonjolkan sokongan buat skuad sepak takraw negara.

"Cutting jersi ni solid, mantaplah. Ada jual dekat mana-mana pusat beli-belah tak?," soal Saiful Hizam.

"Padu. Mana nak beli jersi ni? Tanda sokongan kepada sepak takraw Malaysia," komen Irfan Azmi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram