
PEGUAM yang mewakili Faisal Halim berhubung kes simbahan asid pada 5 Mei tahun lalu mengesahkan Selangor FC ada melakukan perbincangan berhubung proses siasatan kes terbabit.
Dalam satu sesi sidang media pada Khamis, Nik Zarith Nik Moustapha mengesahkan majikan pemain tersebut pernah mengadakan rundingan bagi membantu mangsa yang kini beraksi buat mereka.
"Perbincangan lebih berkisar kepada laporan polis dan apakah hak Faisal Halim sebagai mangsa dalam kes ini. Selain itu, ada juga mengenai apakah hal boleh Selangor FC bantu," katanya di Kajang, Selangor pada Khamis.
BACA LAGI: Faisal Halim antara penerima Darjah, Bintang Sultan Selangor
Selangor FC tidak pernah putus daripada terus membantu pemain utama mereka itu.
Sebelum ini, laporan mengatakan kos rawatan pemain berusia 27 tahun itu ditanggung sepenuhnya pihak kelab serta pemiliknya, Tengku Amir Shah Sultan Sharafudin.
Ini termasuk kos pembedahan bernilai ratusan ribu ringgit memandangkan teknologi rawatan berkenaan perlu diimport dari Belgium, sekali gus menelan perbelanjaan besar.
Bantuan dihulurkan pelbagai pihak itu jelas menyuntik keazaman buat Faisal untuk kembali ke atas padang kerana kira-kira tiga bulan selepas menjadi mangsa, dia sudah kembali beraksi.
Meskipun belum berada di prestasi terbaik, pemain bertubuh kecil itu membuktikan kesungguhan untuk bangkit dengan kisahnya diharapkan mampu memberi motivasi buat mana-mana pihak pada masa akan datang.
Setakat ini, pihak guaman yang mewakili Faisal Halim mengatakan kes tersebut diklasifikasikan sebagai 'No Further Action' (Tiada Tindakan Lanjut) selepas badan siasatan tidak menemui sebarang bukti lanjut berhubung insiden berkenaan.
Bagaimanapun, siasatan masih boleh diteruskan sekiranya Jabatan Peguam Negara (AGC) menggunakan kuasa untuk memastikan siasatan pihak berwajib diteruskan bagi mencari suspek terlibat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram