
SEHINGGA hari ini, nama Watson Nyambek masih mekar sebagai jaguh olahraga selepas pernah memegang rekod larian pecut 100 meter (m) kebangsaan bertahun-tahun lamanya sebelum dipecahkan Khairul Hafiz Jantan kira-kira sembilan tahun lalu.
Kejaguhan pernah ditonjolkan pada era 1990-an itu seperti berjaya diteruskan anaknya, Ryan Lizson yang baru-baru ini mempamerkan aksi memberangsangkan di peringkat sekolah.
Hal itu dikongsikan pengguna Facebook, Apai Panda yang memuat naik rakaman larian pelajar tersebut yang bersaing dalam Majlis Sukan Sekolah Bahagian (MSSB) Miri di Sarawak.
BACA LAGI: Akui pernah tak berminat jadi atlet, Jonathan Nyepa kini bintang pecut negara
BACA LAGI: Pecah 2 rekod olahraga kebangsaan, Usain Bolt Malaysia raih Anugerah Khas SAM-100PLUS 2022
"Tahniah anak Watson Nyambek (raih) pingat emas 100m, 11.3 saat, rekod baharu," tulisnya.
Hantaran itu dimuat naik berserta video berdurasi 15 saat memaparkan Ryan mudah mengatasi pencabarnya yang lain untuk muncul juara perlumbaan di pusingan separuh akhir.
Momentum cemerlang tersebut diteruskan di peringkat akhir selepas pelajar tersebut hanya memerlukan masa 11.67 saat bagi meraih pingat emas, sekali gus mengesahkan reputasinya sebagai pelari terbaik di daerah berkenaan.
Kejayaan dicatatkan itu pasti mengharumkan nama Sekolah Kebangsaan St Columbia, Miri selain penduduk setempat kerana mereka berpeluang menyaksikan Ryan mengikuti jejak bapanya.
Watson pernah diangkat sebagai antara olahraga pecut terbaik di sekitar Asia.
Hantaran berbeza turut dilakukan ibu kepada Ryan iaitu Patricia Phylis yang pasti berbangga akan kebolehan anaknya selain kejayaan mengulangi pencapaian pernah dilakar bapanya di atas trek.
Untuk rekod, Watson yang pernah terkenal dengan julukan The Flying Dayak pernah mewarnai arena olahraga tanah air selepas menyertai pelbagai kejuaraan di pentas antarabangsa.
Ini termasuk pada temasya Olimpik 1996 dan 2000, namun tidak berjaya mengatasi pelari pecut lain yang sudah tentu menerima pendedahan dan bantuan lebih lengkap daripadanya.
Bagaimanapun, anak jati Miri, Sarawak itu pernah menempa nama sebagai antara atlet terbaik di Asia selepas meraih pingat perak dalam Kejohana Asian 1998 di Jepun, Fukuoka.
Watson yang kini berusia 48 tahun kini terus menabur bakti dalam pembangunan bakat setempat sebagai jurulatih sepenuh masa kontrak Majlis Sukan Negeri (MSN) Sarawak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram