BINTANG olahraga negara, Muhammad Azeem Fahmi dipilih sebagai penerima Anugerah Khas 100PLUS 2022 di Majlis Anugerah Persatuan Penulis Penulis Sukan Malaysia (SAM) 100PLUS 2022 yang akan berlangsung pada 29 Ogos 2023 ini.
Pengarah Urusan Perhubungan Kerajaan dan Industri dan Pengurusan Halal, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Datuk Raffiq Md Ariff berkata, pencapaian konsisten Muhammad Azeem sejak mula penglibatannya dalam sukan amat menakjubkan dan berharap atlet muda ini akan terus mencipta kejayaan demi kejayaan sekali gus mengangkat martabat sukan olahraga ke tahap yang lebih tinggi.
"Kita dapat menyaksikan permata baharu dalam pembikinan dalam arena olahraga negara selepas era 90-an iaitu Watson Nyambek dan Azmi Ibrahim sentiasa menghadirkan cerita yang manis untuk sukan tanah air.
"Kami berharap anugerah yang diberikan kepada Muhammad Azeem dapat dijadikan motivasi untuk terus cemerlang dalam arena olahraga sekali gus membanggakan rakyat Malaysia khususnya,” katanya dalam kenyataan SAM pada Ahad.
Muhammad Azeem Fahmi ‘muncul’ di arena trek pada usia 14 tahun selepas layak ke final acara 100 meter (m) di Sukan Malaysia (Sukma) Perak sekali gus bermula dari situ, gelaran ‘Usain Bolt Malaysia’ mencetuskan fenomena baharu sukan olahraga negara.
Kurang sebulan ‘berguru’ di bumi Amerika Syarikat, anak jati Teluk Intan, Perak itu terus unggul apabila memadamkan rekod berusia 24 tahun acara 60m milik Watson Nyambek dikejohanan olahraga dalam dewan.
Muhammad Azeem yang mewakili Universiti Auburn mencatat 6.63 saat di Terbuka Texas Tech & Multi di Texas, 0.03 saat lebih pantas daripada Watson Nyambek, ketika beraksi di Kejohanan Dunia Jepun pada Mac 1999.
Malah, atlet berusia 19 tahun itu juga memadamkan rekod acara pecut 100m yang dipegang Khairul Hafiz Jantan 10.18 saat ketika beraksi di peringkat saringan, Kejohanan Remaja Dunia, Colombia tahun lalu dengan catatan masa 10.09 saat.
Selain mengiktiraf atlet yang cemerlang dan mengharumkan nama Malaysia sepanjang tahun lepas, turut akan dirai pada majlis Anugerah SAM-100PLUS 2022 ialah wartawan sukan, yang berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM50,000.
Anugerah dibahagi kepada enam kategori iaitu Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.
Pemenang terbaik keseluruhan untuk kategori Kewartawanan Sukan akan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Siebel dengan hadiah wang tunai RM7,000 berserta trofi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram