Curi 'limelight' pemain senior, larian bekas pelajar SMK Kulim bantu JDT II rangkul trofi Piala MFL


  • Podium
  • Selasa, 15 Apr 2025

Ruo Han menyertai Akademi JDT ketika berusia 17 tahun, sekitar awal tahun 2018 setelah bersekolah di SMK Kulim. — Instagram/RuoHan

JOHOR Darul Ta'zim II (JDT II) dinobatkan sebagai juara Piala Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) 2024/2025 selepas membelasah Penang FC II dengan keputusan 7-0 dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Selasa. 

Kemenangan itu menyaksikan JDT II menamatkan saingan Piala MFL di tangga pertama selepas mengumpul 53 mata manakala pencabar terdekat, Selangor FC terpaksa berpuas hati selaku naib juara biarpun turut menewaskan Kedah Darul Aman FC B 7-0.

Kejayaan skuad kendalian Gonzalo Zaballos merangkul trofi Piala MFL musim 2024/2025 akhirnya dapat membalas kekecewaaan mereka yang tewas kepada Terengganu FC II dalam pentas akhir pada saingan musim 2023. 

BACA LAGI: Ingatan buat Selangor FC II, kekal pendirian tak turun bintang senior aksi penutup Piala MFL

BACA LAGI: Hasrat tak tercapai, Jalil Elias beri petunjuk bakal sertai JDT II?

Dalam perlawanan penting itu, JDT II mengambil inisiatif untuk menurunkan beberapa pemain dari skuad senior untuk membantu pemain-pemain muda itu dan antaranya ialah Shane Lowry, Romel Morales, Heberty Fernandes dan Shahrul Saad berada dalam kesebelasan utama.

Hasil gabungan tonggak senior dan pemain muda, JDT II memperoleh jaringan gol daripada Gabriel Nistelrooy dan Morales yang masing-masing menjaringkan dua gol. Manakala, Najmudin Akmal Kamal Akmal melakar hatrik pertamanya pada musim ini. 

Meskipun menurunkan pemain senior berpengalaman, 'ubi muda' dari skuad JDT II masih dapat mencuri perhatian. Misalnya, Chia Ruo Han yang diturunkan pada separuh masa kedua permainan. 

"Larian larian pantasnya memukau penonton yang hadir ke Stadium Sultan Ibrahim sebentar tadi (Isnin) dan gerakan cantik berkelas dunia serta hantarannya yang tepat ke arah penyerang juga menunjukkan Ruo Han berada di prestasi terbaiknya pada musim ini.

"Ruo Han yang berasal dari Kulim, Kedah ini membuat keputusan yang sangat bijak apabila menyertai akedemi JDT sejak berusia 17 tahun lagi pada penghujung tahun 2018," pujian daripada laman penyokong Harimau Selatan, JDTFC. 

Pemain tengah berusia 23 tahun berkenaan pernah menjadi sorotan media apabila namanya disenaraikan oleh Harimau Selatan untuk mengharungi saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) pada musim 2021. 

Bagaimanapun, pemenang program pencarian bakat bola sepak iaitu Mencari Ramli tersebut tidak diturunkan dalam aksi ACL berikutan Harimau Selatan gagal melepasi cabaran peringkat kumpulan.

Untuk rekod, pemain tengah tersebut membuat keputusan untuk menyertai Akademi JDT ketika berusia 17 tahun, sekitar awal tahun 2018 setelah bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kulim dari tingkatan 1 sehingga tingkatan 4. 

Mengimbau kembali ketika anak jati Kedah itu masih menuntut di sekolah tersebut, kecemerlangannya dalam arena sukan membolehkan dirinya dinobatkan sebagai Tokoh Murid SMK Kulim.

Keratan mengenai pencapaian Ruo Han yang dikongsikan oleh Facebook SMK Kulim.

Ruo Han pernah menjalani latihan di Manchester United Soccer School di United Kingdom (UK) dan Allianz Junior Football Camp (AJFC) di Bali, Indonesia. Selain itu, dia juga menyertai pelbagai kejohanan bola sepak samada peringkat daerah atau negeri di Kedah.

Tidak cukup dengan penglibatan dalam sukan bola sepak, Ruo Han juga terlibat dalam olahraga dengan mengambil bahagian dalam acara larian 4×400 meter, 800 meter, 1,500 meter dan 3,000 meter.

Dengan bakat sedia ada dan semakin mendapat perhatian jurulatih, tidak terkejut jika musim depan, penyokong Harimau Selatan akan menyaksikan Ruo Han membuat debut bersama skuad senior JDT. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram