
BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sekali lagi menjadi inspirasi ramai apabila rumah tangganya bersama suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K terus kekal bahagia dan utuh walaupun sudah hampir dua dekad melayari bahtera perkahwinan.
Menariknya, perbezaan usia antara mereka tidak pernah menjadi penghalang untuk mengecapi kebahagiaan dalam perkahwinan.
Malah, ramai memuji kecekalan dan kematangan Siti dalam mengemudi rumah tangga yang dibina sejak 21 Ogos 2006 itu.
BACA LAGI: [VIDEO] Siti Nurhaliza latih Aafiyah cabar kemampuan diri sertai olahraga, ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi
Momen Tokti bersama keluarga ketika menyambut perayaan Aidilfitri tahun ini.
Siti atau lebih terkenal sebagai Tokti berkata, antara kunci utama kebahagiaan dalam perkahwinan ialah sikap saling menerima pasangan seadanya, tanpa meletakkan harapan yang terlalu tinggi.
"Kita kena menerima pasangan seadanya. Tak boleh expect lebih-lebih. Kita manusia, ada kekurangan dan kelebihan.
"Saya sendiri pun ada kelebihan dan kekurangan. Itu sangat penting. Bila kita tak boleh terima kekurangan, masa tu kita jadi demand macam-macam. Kadang-kadang seseorang tu simpan kesedihan dan terasa tanpa kita sedar," katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, pemilik lagu Purnama Merindu itu turut menitipkan pesanan kepada para wanita dalam memilih pasangan hidup.
Bagi Tokti, selain cinta, penting untuk melihat kepada aspek tanggungjawab serta pegangan agama seseorang lelaki.
"Kerana kita nak hidup bersama dia, bukan hanya lima atau sepuluh tahun.
"Semua pasangan impikan kebahagiaan sampai ke jannah.
"Kenali pasangan kita sebaiknya dan yang paling penting, pastikan semuanya berlandaskan agama. Suami perlu didik isteri dengan asas agama," katanya.
Untuk rekod, hasil perkahwinan pasangan ini, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Siti Aafiyah yang dilahirkan pada Jun 2018 dan Muhammad Afwa yang lahir pada Ogos 2021 menerusi kaedah rawatan IVF. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram