Pingat dirampas tanpa bukti, jurulatih kecewa atlet Semporna jadi mangsa berat sebelah juri MSSD


  • Podium
  • Isnin, 14 Apr 2025

Atlet lelaki itu terus menangis selepas dituduh menaiki kenderaan sepanjang perlumbaan Merentas Desa MSSD Semporna. — Facebook/Mukmin Nantang

KEJOHANAN Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Semporna yang berlangsung Sabtu lalu dicemari dengan dakwaan salah guna kuasa oleh pihak pengadilan, melibatkan penarikan semula kemenangan naib johan daripada seorang atlet tanpa mengikut prosedur rasmi.

Menurut jurulatih kepada atlet itu yang dikenali sebagai Mukmin Nantang, kemenangan tempat kedua yang diraih atlet tersebut digugurkan secara tiba-tiba selepas tamat majlis penyampaian hadiah, dengan pingat dirampas dan diserahkan kepada peserta di tempat ketiga. 

Lebih mengejutkan, tindakan berkenaan didakwa dibuat tanpa memberi ruang kepada pihak tertuduh untuk membela diri mahupun menunjukkan bukti bagi menyangkal tuduhan yang dilempar kepadanya. 

BACA LAGI: [VIDEO] Dilabel susuk 'rare', 'barang' baik, prospek hangat Selangor hangatkan MSSM

BACA LAGI: [VIDEO] Lari pakai kasut koyak, atlet Putrajaya pasrah raih Perak acara MSSM terakhir

"Kami terkejut kerana tidakan itu dibuat tidak pengikut prosedur dan buku peraturan yang betul. Atlet dan pihak sekolah beliau langsung tidak dipanggil untuk menjawab dan mempertahankan diri dari tuduhan itu. Tiba-tiba saja kemenangan digugurkan dan pingat diserahkan kepada orang lain. 

"Saya sebagai jurulatih juga terkejut dengan keputusan ini dan datang membuat perbincangan dengan pihak pengurusan. Kami mahukan penjelasan yang konkrit tentang hal ini. Tuduhan ini sangat jahat dan boleh menjatuhan moral atlet yang dituduh. 

"Saya mempersoal pihak pengadilan yang juga seorang cikgu dari sekolah penganjur, kenapa proses batahan dan pembelaan tidak dibuat secara formal. Kenapa terus rampas pingat dan gugurkan kemenangan? Adakah terdapat bukti bergambar atau video? 

"Pihak pengadil (yang juga seorang guru) kata tidak ada bukti gambar dan video. Mereka cuma ambil permakluman dari tiga orang peserta. Kami terkejut dengan jawapan itu. Bagaimana jika 3 orang tersebut bersubahat menjatuhkan atlet tersebut.

"Saya pun kata, kalau begitu kami juga boleh bawa tiga atau lebih peserta dari sekolah berasingan untuk membuktikan atlet tersebut tidak berlaku curang. Pihak pengadil tidak mahu menerima. Aik, mengahairankan," kongsinya. 

Tambah dakwaan bahawa atlet tersebut menaiki kenderaan sepanjang perlumbaan adalah tidak berasas dan mencemarkan maruah atlet yang telah menjalani latihan intensif hampir setiap hari sepanjang tahun. 

Bukan itu sahaja, atlet tersebut turut memiliki jam tangan sukan Garmin yang merekodkan data lengkap larian termasuk jarak, masa, elevasi dan degupan jantung. Ia bukti digital yang boleh digunakan bagi menyanggah sebarang tuduhan penipuan.

Mukmin turut meluahkan kekecewaan terhadap pihak pengadil, yang juga merupakan guru dari sekolah penganjur, kerana enggan menerima sebarang bentuk pembelaan dan bukti tambahan. Malah, usaha pihak atlet untuk membawa saksi lain yang turut berlari bersamanya juga ditolak mentah-mentah.

"Pengadil tidak mahu terima apa pun yang kami ingin sampaikan dan seperti tidak mahu kalah malu kerana keputusan telah dibuat. Mereka sudah terlanjur beri pingat itu kepada orang lain. Dia cuba tegakkan benang yang basah dan tetap ego dengan keputusannya. 

"Kerana keputusan ini sangat mengarut dan tidak masuk akal. Saya terus mengatakan akan membuat laporan terhadap keputusan ini. Terus pengadil cuak. 

"Saya tegaskan untuk perbincangan dan proses bantahan harus dibuat ikut prosedur yang betul seperti yang tertaklum dalam buku peraturan. Jika tidak, kemenangan dan pingat harus dikembalikan," jelasnya. 

Mukmin Nantang. 

Setelah tekanan diberikan, satu perbincangan semula diadakan bersama pihak pengurusan kejohanan. Keputusan baru menyatakan pingat tempat kedua akan dikembalikan kepada atlet terbabit, namun kedudukan itu perlu dikongsi bersama peserta lain. 

Lebih mengejutkan, pihak penganjur mencadangkan satu ‘ujian semula’ larian ke atas atlet berkenaan secara individu, melibatkan laluan berbukit sejauh 9.2 kilometer untuk menilai kelayakannya ke peringkat negeri.

“Ini sebuah pembulian terhadap atlet tersebut. Adakah pengadil dan peserta yang buat batahan takut? Kalau benar, lawan lah! Saya jadi ragu terhadap keputusan pengadil yang berubah-rubah ikut suka hati. 

"Apa agenda mereka sebenarnya? Ini jelas tindakan yang tidak adil dan salah guna kuasa," kata jurulatih itu yang juga merupakan aktivis di Sabah. 

Lebih mengejutkan, beliau juga mendakwa insiden berkenaan hanyalah sebahagian kecil daripada pelbagai masalah yang telah lama berakar dalam sistem pengurusan sukan dan pendidikan daerah Semporna.  

Antaranya termasuk kehilangan pingat yang tidak diganti walaupun telah dijanjikan, serta bayaran honorarium kepada atlet peringkat negeri yang sehingga kini belum disalurkan kepada bakat-bakat muda Semporna. 

"Beberapa acara pingat dihilang oleh pihak pengurusan. Pelajar yang menang tidak dapat pingat. Dijanjikan untuk diganti, setahun lebih pingat itu masih belum diberikan. 

"Hal lain lagi, tahun lepas atlet dijanjikan untuk mendapat habuan atau honorarium ketika dapat pingat di kejohanan olahraga MSSS peringkat negeri Sabah.  Sehingga sekarang atlet yang mengharumkan nama Semporna menunggu wang tersebut untuk membeli peralatan sukan mereka. 

"Dari tahun lepas wakil PPD ditanya, mereka kata nanti dan nanti akan dibagi. Hampir genap setahun sesen pun wang tersebut belum diberikan. Ke mana wang tersebut?," soalnya. 

Kejadian itu telah menimbulkan tanda tanya besar terhadap integriti dan profesionalisme dalam penganjuran kejohanan sukan peringkat daerah. Ramai pihak kini menanti penjelasan rasmi daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Semporna serta pihak pengurusan kejohanan.

Bagaimanapun, sehingga kini masih belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak PPD Semporna berhubung dakwaan berkenaan.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram