BUKAN semua atlet akan bermula dengan sukan yang diminatinya namun selepas didedahkan dengan rutin dan latihan sama, lama-kelamaan perasaan cinta terhadap acara berkenaan semakin berputik sehingga berkesempatan berdiri di atas podium sebagai juara.
Demikianlah situasi untuk menggambarkan permulaan perjalanan bintang pecut negara, Jonathan Nyepa, 28, yang mula menempa namanya apabila meraih pingat emas temasya Sukan Universiti Asean (AUG) 2016 di Singapura.
Sejak pencapaiannya yang dilakarnya pada usia 20 tahun itu, Jonathan menyertai pelbagai kejohanan dan disulam dengan beberapa kemenangan dalam temasya sukan besar seperti Sukan Malaysia (Sukma), Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, Sukan SEA dan baru-baru ini Sukan Asia.
Di sebalik pembikinan pelari kelahiran Sungai Asap Sarawak itu, nama legenda pecut negara, Watson Nyambek merupakan individu terawal yang menemui dan mengasuh bakatnya sehingga menjadi seorang atlet disegani.
Watson atau lebih dikenali dengan jolokan 'The Flying Dayak' satu ketika dahulu itu pernah menjadi pemegang rekod 100 meter kebangsaan apabila mencatat 10.30 saat pada 1998, selain beliau juga berpeluang beraksi di dua Sukan Olimpik iaitu di Atlanta 1996 dan Sydney pada tahun 2000.
Jonathan bermula melibatkan diri dalam sukan olahraga sejak di bangku sekolah.
“Dulu saya tak fikir nak jadi atlet. Sebab nak belajar saja. Oleh itu, bagi saya untuk jadi atlet perlu sokongan jika nak pergi lebih jauh. Sokongan daripada semua pihak termasuk ibu bapa.
“Saya memang mula sejak sekolah menengah dan latihan dari sekolah lagi. Lepas menang wakil sekolah, saya dibawa ke bahagian dan akhirnya bermain untuk negeri.
“Lepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) saya dipanggil oleh jurulatih Watson Nyambek untuk latihan bagi Sukma Perlis 2014. Lepas itu ditawarkan untuk masuk sekolah sukan Bukit Jalil semasa tingkatan 6,” katanya kepada Majoriti 7.
Bermula dengan larian di trek bumi kelahiran untuk mencipta rekod peribadi sehingga melayakkan diri ke peringkat antarabangsa, graduan kursus Sumber Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu menyifatkan penyertaan di Sukan Asia pada Oktober lalu antara puncak kerjayanya.
Jonathan merupakan sebahagian daripada kuartet 4x100 meter (m) lelaki di Malaysia yang beraksi di Sukan Asia Hangzhou, China bersama-sama Khairul Hafiz Jantan, Azeem Fahmi dan Arsyad Saat.
Walaupun penyertaan kuartet 4x100m lelaki negara dibatalkan susulan kesalahan pencerobohan lorong yang dilakukan atlet negara pada final Sukan Asia 2022 di Stadium Olimpik Hangzhou namun ia tetap memberinya kepuasan.
Pasukan kuartet 4x100m lelaki negara pada Sukan Asia 2022.
Definisi kepuasan Jonathan adalah apabila dia dan rakan sepasukan membuat catatan 39.19 saat (s) untuk menamatkan saingan di tangga kelima secara keseluruhan dan ia hampir memecahkan rekod kebangsaan.
Bercakap mengenai acara kuartet 4x100m lelaki negara, Jonathan akui cukup gembira dapat menabur bakti untuk negara di temasya Sukan Asia bersama pelari muda seperti bintang sedang meningkat naik, Azeem.
Kesukaran bermain bersama pelari popular seperti Azeem apabila segelintir penyokong memiliki stereotaip bahawa pelari paling laju akan diletak pada aturan terakhir dan senario berkenaan terjadi kepada kuartet negara.
“Saya ada buat rancangan dengan jurulatih sama ada second runner atau pelari ketiga. Kedudukan pelari kena tengok juga keadaan semasa latihan ataupun kelayakan. Benda itu tak tetap sebab tengok prestasi. Contohnya, jika Azeem cedera jadi pelari lain akan ganti dia.
“Kita tak boleh nak tengok satu part tu siapa susah. Kadang-kadang pelari terakhir macam Azeem lawan dengan pelari lambat dari pasukan lain. Tengok strategi pasukan lain macam mana.
“Tada pelari kegemaran dalam pasukan. Azeem jadi pelari keempat sebab dia berlatih di AS (Amerika Syarikat), jadi untuk latihan bersama hanya seminggu. Jika dia pelari pertama susah nak latihan baton. Tak bermakna pelari keempat dia pelari laju. Jurulatih perlu jadi bijak,” kongsinya.
Azeem antara pelari sedang meningkat naik negara.
Mengulas lanjut mengenai prestasi Azeem, Jonathan sebagai pelari senior menyifatkan prospek dari Perak itu mempunyai platform yang baik untuk menambah baik kualiti apabila dia kini melanjutkan pengajian dan mengembangkan kerjaya olahraganya di Universiti Auburn, AS.
Malah, Jonathan juga akui bahawa pernah memasang impian untuk menyertai latihan di luar negara kerana universiti luar negara memorei tawaran fasiliti jauh lebih baik dan semestinya pengalaman berlatih akan memberi jaminan terhadap perkembangan diri.
“Dulu saya ada merancang nak berlatih di luar negara tapi bukan untuk bersaing dengan mereka pun. Saya cuma nak pengalaman untuk berlatih dengan orang lebih pakar. Kita tengok budak lain lari dengan timing best, jadi kita pun nak rasa. Tapi sebab tiada peluang jadi tak apa.
“Azeem dapat sebab dia national record iaitu 10.09 saat. Dalam dunia ni berapa orang saja ada rekod macam Azeem yang sebaya mereka. Jadi sebab itu dapat tawaran,” jelasnya.
Dalam perkembangan berbeza, Jonathan kini sedang mempersiapkan diri untuk kejohanan kelayakan ke Sukan SEA edisi 2025 dan pastinya dia ingin memecahkah rekod peribadinya iaitu sebanyak 10.28m yang diperolehi ketika 2017. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram