
PERSEKUTUAN Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah mengemas kini senarai kelab Liga Malaysia (Liga M) yang dikenakan sekatan perpindahan.
Beberapa hari lalu, peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan laporan bahawa tiga kelab tanah air, Terengganu FC, Kelantan Darul Naim (DN) dan PT Athletics telah dikenakan sekatan oleh FIFA pada tahun ini.
Namun, tinjauan terkini di laman rasmi FIFA Transfer List mendapati nama Terengganu tidak lagi tersenarai, menjadikan hanya lapan kelab tanah air yang masih kekal dalam senarai sekatan tersebut dengan sebahagiannya pula telah pun dibubarkan.
BACA LAGI: Isu ‘transfer ban’ FIFA sudah lama selesai, seolah-olah berniat burukkan reputasi kelab — TFC
BACA LAGI: Rehabilitasi di Croatia gagal pulihkan kecederaan Ivan Mamut, TFC nafi dakwaan tunggakan gaji
Terdahulu, Terengganu FC berdepan kesukaran untuk memperkuatkan pasukan bagi menghadapi kempen musim 2025/26.
Ini kerana skuad Sang Penyu itu dikenakan sekatan perpindahan FIFA berdasarkan semakan pangkalan data sekatan perpindahan badan induk bola sepak antarabangsa itu.
TFC sebelum ini didakwa berkemungkinan akan digantung daripada mendaftarkan pemain selama tiga jendela perpindahan. — Facebook/TFC
Bagaimanapun, Terengganu tampil menegaskan bahawa isu mengenai sekatan pendaftaran pemain oleh FIFA yang tular baru-baru ini telah diselesaikan sepenuhnya pada April 2025.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan pihak TFC di laman Facebook, isu tersebut berkaitan dengan pertikaian bayaran elaun yang melibatkan bekas pegawai asing pasukan.
"Sepatutnya isu ini tidak perlu dimainkan oleh kerana perkara ini telah diselesaikan sepenuhnya oleh pihak TFC pada April 2025 yang lalu.
"Ianya melibatkan bekas pegawai asing pasukan dengan TFC apabila timbul sedikit pertikaian berkait bayaran elaun yang melibatkan lima angka sahaja.
"Pengesahan penyelesaian penuh telah diperakui FIFA pada 21 April 2025 dan memberi masa lima (5) hari kepada penuntut mengesahkan bayaran. Sepatutnya hal ini tidak timbul oleh kerana tempoh tersebut telah berlalu," kata kenyataan itu.
Hasil semakan di laman FIFA Transfer List, antara kelab yang masih kekal dalam senarai sekatan adalah Perlis FA, Melaka United FC, Sarawak United FC, Kelantan FC, Melaka United, Kelantan Darul Naim FC, PT Athletic FC dan juga Kelantan FA. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram