Isu ‘transfer ban’ FIFA sudah lama selesai, seolah-olah berniat burukkan reputasi kelab — TFC


  • Podium
  • Isnin, 05 Mei 2025

TFC sebelum ini didakwa digantung oleh FIFA bermula 14 April lepas. — Facebook/TFC

TERENGGANU FC menegaskan bahawa isu mengenai sekatan pendaftaran pemain oleh FIFA atau FIFA Transfer Ban yang tular baru-baru ini telah diselesaikan sepenuhnya pada April 2025.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan pihak TFC di laman Facebook, isu tersebut berkaitan dengan pertikaian bayaran elaun yang melibatkan bekas pegawai asing pasukan.

"Walaupun jumlahnya hanya melibatkan lima angka, isu itu telah diselesaikan dengan pengesahan penuh oleh FIFA pada 21 April 2025.

BACA LAGI: Rehabilitasi di Croatia gagal pulihkan kecederaan Ivan Mamut, TFC nafi dakwaan tunggakan gaji

BACA LAGI: ‘Jika tak mampu bersaing, jangan hasut tarik diri’, TMJ tegur mentaliti mundur bola sepak Malaysia

TFC sebelum ini didakwa berkemungkinan akan digantung daripada mendaftarkan pemain selama tiga jendela perpindahan. — Facebook/TFC

Jelas TFC, FIFA turut memberi tempoh lima hari kepada penuntut untuk mengesahkan pembayaran tersebut, namun masalah itu sepatutnya tidak timbul lagi selepas tempoh tersebut berakhir.

"Sepatutnya isu ini tidak perlu dimainkan oleh kerana perkara ini telah diselesaikan sepenuhnya oleh pihak TFC pada April 2025 yang lalu.

"Ianya melibatkan bekas pegawai asing pasukan dengan TFC apabila timbul sedikit pertikaian berkait bayaran elaun yang melibatkan lima angka sahaja.

"Pengesahan penyelesaian penuh telah diperakui FIFA pada 21 April 2025 dan memberi masa lima (5) hari kepada penuntut mengesahkan bayaran. Sepatutnya hal ini tidak timbul oleh kerana tempoh tersebut telah berlalu," kata kenyataan itu.

Pada masa sama, pihak TFC juga sedia maklum bahawa jendela perpindahan atau pendaftaran pemain Liga Malaysia dijangka dibuka pada Julai 2025, dengan sepak mula kemungkinan pada awal Ogos 2025.

Tangkap layar hantaran dari Terengganu 11.

"Walaupun tempoh pendaftaran pemain masih jauh, TFC telah mengambil langkah segera untuk memastikan segala urusan berkaitan perpindahan dan pendaftaran pemain berjalan lancar.

"Namun begitu, segelintir peminat di laman sosial telah menularkan isu ini dengan niat yang dilihat seolah-olah untuk merosakkan reputasi kelab. Tindakan itu telah menyebabkan tanggapan yang kurang tepat dan negatif terhadap kelab, sekali gus meresahkan penyokong dan peminat bola sepak tempatan.

"Pihak TFC berharap agar semua pihak memahami prosedur yang terlibat dalam kes ini, khususnya apabila melibatkan FIFA dan agar isu ini tidak dipanjangkan lagi," katanya.

Mereka turut menegaskan bahawa segala penjelasan telah diberikan dan berharap peminat serta pihak berkepentingan dapat melihat perkara ini dengan lebih jelas tanpa melibatkan sebarang spekulasi yang tidak berasas.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai laporan dakwaan pasukan Terengganu adalah antara tiga pasukan baharu yang berada di dalam senarai sekatan perpindahan oleh FIFA.

Hal ini berdasarkan semakan di pangkalan data badan induk bola sepak antarabangsa itu yang menyaksikan Terengganu dikenakan hukuman tersebut bermula pada 14 April yang lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram