Rehabilitasi di Croatia gagal pulihkan kecederaan Ivan Mamut, TFC nafi dakwaan tunggakan gaji


  • Podium
  • Isnin, 05 Mei 2025

Jodoh Ivan Mamut bersama Terengganu FC berakhir. — Instagram/ivanmamut31

TERENGGANU FC (TFC) tampil menafikan dakwaan kononnya kelab itu gagal membayar gaji penyerang import, Ivan Mamut selama hampir sembilan bulan sambil menegaskan tuduhan tersebut tidak berasas.

Baru-baru ini, tular khabar mengenai penyerang Croatia itu yang dikatakan memiliki tunggakan gaji sembilan bulan ketika bersama skuad Peteh.

Menerusi satu kenyataan rasmi, pihak TFC memaklumkan bahawa dakwaan yang tersebar di media sosial tidak berpunca daripada kenyataan rasmi kelab dan dianggap sebagai cubaan mencemarkan reputasi pasukan.

BACA LAGI: Bekas coach KDA FC B dilantik Pengarah Teknikal Penang FC

BACA LAGI: 'Satu hati demi Perak FC', tubuh koperasi jadi harapan demi hidupkan semula TBG

Bekas penyerang berbisa TFC, Ivan Mamut. — Instagram/ivanmamut31

“Bagaimana isu ini boleh dihangatkan sedangkan ia bukan satu berita yang tepat? Pihak TFC tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana laman sosial atau individu yang mengeluarkan dan menyebarkan dakwaan ini,” tegas kenyataan itu.

Mengulas lanjut, TFC menjelaskan bahawa Ivan Mamut telah menandatangani lanjutan kontrak bagi musim 2024/2025 pada Disember 2023.

Namun begitu, pemain kelahiran Croatia itu mengalami kecederaan serius pada bahagian Achilles tendon sekitar Mac 2024, sekali gus menjejaskan kemampuannya untuk beraksi.

"Pada April hingga Mei 2024, TFC menyediakan kemudahan dan sokongan untuk proses pemulihan buat Ivan Mamut.

"Namun, Mamut memilih untuk menjalani rehabilitasi di negaranya atas alasan rawatan di sana lebih baik dan pihak TFC bersetuju dengan permintaan tersebut dengan menetapkan beberapa terma dan syarat.

"Malangnya, selepas menjalani proses pemulihan di Croatia, pasukan perubatan TFC mendapati kecederaan yang dialami masih tidak menunjukkan perubahan ketara.

"Pada Julai 2024, Mamut sekali lagi memohon untuk kembali ke negaranya bagi menjalani pembedahan dan proses pemulihan sehingga Disember. TFC sekali lagi bersetuju secara profesional terhadap permintaan itu demi kebaikan pemain," katanya.

Menurut kenyataan itu, pada Januari 2025, Mamut kembali melapor diri kepada kelab dengan harapan dapat diserap ke dalam program latihan pasukan, namun tahap kecergasannya didapati belum mencapai tahap memuaskan untuk diturunkan dalam aksi kompetitif Liga Malaysia musim 2024/2025.

“Pihak TFC sentiasa menjaga kebajikan pemain dan sentiasa terbuka untuk berbincang demi mencari penyelesaian terbaik. Jika terdapat sebarang isu berbangkit, termasuk hal berkaitan gaji, saluran yang betul seperti termaktub dalam kontrak adalah platform terbaik untuk penyelesaian secara profesional,” tambah kenyataan itu.

Kelab itu turut menasihati semua pihak agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang akhirnya boleh menjejaskan imej pasukan, pemain, dan keseluruhan ekosistem Liga Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram