'Jose Mourinho pun tak dapat bawa KL ke puncak tanpa penyelesaian masalah pengurusan'


  • Podium
  • Selasa, 06 Mei 2025

Sri Pahang FC bergelar naib juara Piala Malaysia 2024 di bawah bimbingan Fandi Ahmad. — Facebook/Sri Pahang

KEJAYAAN Fandi Ahmad membawa Sri Pahang FC muncul naib juara Piala Malaysia telah melonjakkan namanya dan kini legenda bola sepak Singapura itu dikaitkan dengan kemungkinan menyertai Kuala Lumpur City FC (KL City) untuk musim depan.

Meskipun masa depan Sri Pahang FC masih belum pasti, Fandi dikatakan menjadi calon untuk menggantikan Miroslav Kuljanac sebagai pengendali KL City. Namun, buat masa ini, ia masih kekal sebagai khabar angin.

Fandi pernah mencipta legasi besar ketika membantu Kuala Lumpur menjuarai Piala Malaysia pada 1987, 1988 dan 1989 serta mempunyai pengalaman luas dalam Liga M.

BACA LAGI: Saham mencanak lepas gegar gawang JDT, bintang Sri Pahang kini diburu Selangor-Melaka

BACA LAGI: ‘Jika tak mampu bersaing, jangan hasut tarik diri’, TMJ tegur mentaliti mundur bola sepak Malaysia

Ketua Jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad dikatakan bakal kembali ke Lembah Klang untuk mengemudi The City Boys. — Facebook/Sri Pahang

Sebagai seorang pemain dan jurulatih, Fandi cukup mengenali industri bola sepak di Malaysia, menjadikannya calon yang berpotensi untuk mengemudi pasukan Lembah Klang itu.

Mengenai khabar angin tersebut, penyokong setia The City Boys, Nizam Archibald bersetuju dengan idea membawa Fandi ke KL City.

Menurutnya, pengalaman Fandi sebagai bekas pemain KL memberi kelebihan kerana dia sudah biasa dengan suasana bola sepak di ibu kota.

"Pengalamannya sebagai bekas pemain KL boleh memberikan kelebihan kerana dia sudah biasa dengan suasana bola sepak KL.

"Selain itu, dia juga mempunyai pengalaman sebagai pemain dan jurulatih di Liga M, jadi dia tidak perlukan masa untuk adaptasi," katanya kepada Majoriti.

T. Saravanan (depan) merupakan anak didik Fandi yang berjaya menjaringkan gol menentang JDT dalam final Piala Malaysia 2024. — Facebook/Sri Pahang

Namun, Nizam juga mengingatkan bahawa Fandi akan berdepan cabaran besar dalam memenuhi jangkaan penyokong, terutamanya selepas empat musim gemilang KL City di bawah Bojan Hodak dan Miroslav Kuljanac.

Menurutnya, seorang jurulatih tidak akan mampu menaikkan sesebuah kelab tanpa pengurusan yang baik.

"Pendapat saya, Fandi juga berdepan tugas berat kerana sudah tentu ada harapan tinggi dari penyokong selepas empat musim yang cukup hebat untuk KL City di bawah Bojan Hodak dan Miroslav Kuljanac.

"Bagi saya jauh lagi. Seorang jurulatih berseorangan tak akan mampu menaikkan sesebuah kelab. Ia perlu pengurusan yang bagus juga.

"Bahkan pengurus Fenerbahce, Jose Mourinho pun takkan dapat jadikan KL kuasa besar, selagi KL tidak selesaikan masalah di peringkat pengurusan pasukan," jelasnya.

Fandi (kiri) kini dikaitkan sebagai calon utama untuk mengemudi KL City FC musim depan. — Facebook/Sri Pahang

Tambah Nizam, meskipun Fandi dilihat sebagai figura yang boleh membantu pasukan, masih terlalu awal untuk menilai sama ada KL City dapat menjadi kuasa baharu di Lembah Klang dan menyaingi pasukan seperti Selangor FC.

"Masih terlalu awal. Seperti saya katakan, KL perlu diuruskan dengan betul dan mempunyai perancangan rapi untuk memajukan kelab.

"Dari pemilihan pemain yang tepat, struktur pengurusan yang bertanggungjawab, padang latihan, tiada isu kewangan, barulah boleh berangan pasal piala," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram