
SAHAM penyerang lincah Sri Pahang FC, T. Saravanan melonjak naik selepas berjaya meledak gol menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2024 pada 26 April lalu.
Aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu menyaksikan jaringan Saravanan tersebut berhasil membantu Tok Gajah mendahului pada separuh masa pertama.
Namun, JDT bangkit menerusi gol Bergson da Silva dan Arif Aiman Hanapi untuk mencatat kemenangan 2-1 sekali gus menjulang trofi kejuaraan.
BACA LAGI: 'Otai masih berbisa,' kudrat 3 kuda tua Liga Super termasuk jeneral JDT masih ditagih musim depan
BACA LAGI: Pemain berkualiti sanggup terima gaji RM10,000 memang formula magis, tegas orang kuat Penang FC
Saravanan (depan) meraikan golnya bersama Sri Pahang. — Facebook/Sri Pahang
Walaupun Sri Pahang tewas, prestasi cemerlang Saravanan tetap mencuri tumpuan, bukan sahaja dalam kalangan penyokong tempatan, malah turut menarik minat beberapa kelab Liga Super.
Menurut pemerhati sukan tempatan, T. Avineshwaran, pemain sayap berusia 24 tahun itu kini menjadi buruan beberapa kelab Liga Super termasuk Selangor FC dan Melaka FC.
"Pemain sayap Pahang, T. Saravanan, kini menjadi perhatian beberapa kelab Liga Super.
"Difahamkan pemain berusia 24 tahun itu sedang dipantau oleh Selangor dan Melaka. Kontraknya bersama Pahang masih berbaki setahun," katanya di laman X.
Meskipun kontrak Saravanan bersama skuad Tok Gajah masih berbaki setahun, masa depannya bersama pasukan itu kini dilihat tidak menentu.
Ketidaktentuan status Sri Pahang FC dalam saingan Liga Super musim depan turut menambahkan spekulasi mengenai kemungkinan perpindahannya.
Situasi itu pastinya memberi peluang lebih cerah buat Selangor untuk mendapatkan khidmat pemain muda berbakat itu bagi memperkukuh pasukan musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram