
PENYERANG Perak FC, Clayton da Silva dilaporkan sedang menjalani sesi percubaan bersama pasukan Sabah FC menjelang saingan Liga Super musim 2025/26.
Perkembangan itu hadir selepas Perak mengumumkan penarikan diri daripada liga, sekali gus menyebabkan ramai pemainnya termasuk Clayton menjadi buruan kelab lain.
Penyerang berbisa kelahiran Brazil itu sebelum ini dikaitkan dengan minat daripada beberapa kelab Liga Super dan Sabah perlu bertindak segera sekiranya benar-benar mahu mendapatkan khidmat Clayton bagi musim depan.
BACA LAGI: Saham mencanak lepas gegar gawang JDT, bintang Sri Pahang kini diburu Selangor-Melaka
BACA LAGI: 'Otai masih berbisa,' kudrat 3 kuda tua Liga Super termasuk jeneral JDT masih ditagih musim depan
Malah, beberapa pasukan dari Timur Tengah, Eropah dan Asia Tenggara turut dilaporkan sedang memantau perkembangannya.
Terbaharu, menerusi hantaran daripada penyokong Perak, Perak The Yob, mendedahkan bahawa Clayton telah memulakan sesi percubaan bersama skuad Sang Badak.
“Penyerang Perak FC, Clayton dikhabarkan sedang menjalani sesi percubaan dengan pasukan Sabah FC. Baru-baru ini, dia turut mencatat satu bantuan gol dalam perlawanan ujian di Sabah,” menurut kenyataan di platform X.
Sabah FC dilaporkan sedang aktif mencari pemain import baharu selepas kehilangan beberapa tonggak utama pada penghujung musim 2024/25.
Salah satu kekosongan utama yang perlu diisi ialah posisi penyerang, susulan ketiadaan Joao Pedro yang kini beraksi secara pinjaman bersama Ho Chi Minh City FC (HCMC FC).
Dalam masa sama, Sabah juga bakal beraksi dalam saingan Piala Shopee musim depan selepas menamatkan saingan Liga Super 2024 di kedudukan ketiga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram