Tak tertarik 'rumors' Luqman Hakim, fans Terengganu lebih idamkan Syafiq Ahmad


  • Podium
  • Selasa, 29 Apr 2025

Luqman Hakim (kiri) dan Syafiq Ahmad dilaporkan berada dalam radar Terengganu FC bagi jendela perpindahan akan datang.

MESKIPUN khabar angin kuat mengatakan Luqman Hakim Shamsudin akan berkelana ke Negeri Sembilan FC, masih tiada sebarang kata putus diberikan mengenai destinasi penyerang muda negara itu.

Dia yang dilaporkan bakal meninggalkan kelab Belgium, KV Kortijk difahamkan terbuka untuk kembali ke tanah air selepas tempoh dihabiskan di Eropah tidak membuahkan hasil seperti mana diharapkan.

Harapan itu sekali gus menimbulkan khabar angin bahawa dia akan menyertai skuad Jang yang turut disebut-sebut akan membawa masuk lebih ramai pemain selepas satu musim mengecewakan.

BACA LAGI: Luqman Hakim pilih pulang ke Malaysia, ini 4 wonderkid hilang dari radar Liga M

BACA LAGI: Setuju pandangan CEO, fans Terengganu terbuka terima kehadiran Luqman Hakim

Skuad Sang Penyu disebut-sebut sebagai destinasi terbaru Luqman Hakim. Facebook/Terengganu FC

Namun, dengan tiada kata putus diberikan, peluang untuk pasukan lain mendapatkan khidmatnya masih terbuka dengan Terengganu FC menjadi salah sebuah kelab yang tertarik dengannya.

Hal tersebut disahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Mohd Sabri Abas yang menegaskan pihaknya sudah mengatur langkah untuk merisik khidmat Luqman Hakim sambil menegaskan kesungguhan mereka membawanya ke Pantai Timur.

Kemasukan bekas penyerang skuad Bawah 17 Tahun (B-17) negara itu pasti diharapkan dapat memperbaiki ketumpulan barisan hadapan pasukan yang hanya mencetak 35 gol dalam Liga Super.

Bagaimanapun, bagi penyokong Sang Penyu, mereka lebih tertarik sekiranya kelab berkenaan berjaya menyambar penyerang Harimau Malaya, Syafiq Ahmad yang turut berada dalam pasaran ketika ini.

Pandangan itu diberikan kerana pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) berkenaan lebih terbukti kemampuannya meskipun kurang beraksi bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC musim ini akibat kecederaan.

Syafiq Ahmad sudah membuktikan kebolehan sebenar semasa beraksi buat skuad kebangsaan dan di peringkat kelab.

"Cuba sambung khidmat Safawi (Rasid), selepas itu dapatkan Syafiq Ahmad. Boleh dapatkan tiga serangkai antara Safawi, Syafiq dan Akhyar Rashid," kata Mohd Huzairi Mohamad.

"Tidak perlulah dapatkan Luqman Hakim. Kalau nak, lebih baik ambil Syafiq Ahmad tu," kata Sham Faez Mohd Zulkifli.

"Lebih baik ambil sahaja Syafiq Ahmad. Sudah terlalu lama Luqman berkelana di luar negara, sampai kita sendiri pun tidak tahu mengenai perkembangannya," kata Rizal Ibrahim.

Khabar angin mengatakan penyerang kelahiran Pulau Pinang itu akan ke Pantai Timur bukanlah sesuatu yang baharu kerana kepulangannya ke JDT selepas tempoh pinjaman bersama KDA FC kurang diraikan.

Ini kerana skuad Harimau Selatan sudah memiliki lambakan penyerang lain seperti Bergson da Silva dan Romel Morales sementara pemenang Kasut Emas Piala MFL, Gabriel Nistelrooy juga boleh diserap ke dalam pasukan senior.

Jadi, Syafiq sudah tentu terbuka untuk meninggalkan kelab Selatan tanah air tersebut dengan Terengganu FC yang tidak memiliki sebarang isu pengurusan boleh mendapatkan khidmatnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram