
PERUBAHAN berlaku dalam barisan pemain import Selangor FC dengan menyaksikan beberapa nama meninggalkan kelab seperti Nikola Jambor, Yohandry Orozco serta Ali Olwan.
Pemergian Olwan membuka ruang kepada Selangor untuk mencari pemain serangan baharu. Ketika ini, nama pemain dari Colombia iaitu Andres Nieto menjadi sebutan.
Siapakah dia? Dan jika dibawa ke Selangor, apakah impak yang boleh diberikan kepada barisan serangan Gergasi Merah?
BACA LAGI: TFC-Selangor-Penang berebut dapatkan tandatangan Patrick Vieira versi Sri Pahang
BACA LAGI: Selangor mesti 'pecah tabung' ganti import, pastikan skuad bukan 'asal boleh' musim depan
Tempat Ronnie masih selamat
Kenapa Nieto disebut-sebut sebagai pengganti Olwan berbanding Ronnie Fernandez? Pertama, Ronnie Fernandez masih kekal di Selangor kerana berbaki semusim lagi dalam kontraknya.
Kedua adalah kerana Nieto adalah lebih kepada seorang pemain sayap berbanding penyerang utama. Nieto merupakan seorang pemain yang lazimnya beraksi sebagai sayap kiri.
Posisi utama Nieto (tengah) adalah sayap kiri. — Phnom Penh Crown
Oleh itu, ia membuatkan posisi Fernandez sebagai penyerang utama Selangor masih lagi selamat untuk musim depan dan itu mungkin kurang diterima oleh penyokong.
Ia kelihatan satu perkara yang kurang enak buat penyokong Gergasi Merah. Namun begitu, ada sebab untuk mereka teruja dengan kehadiran Nieto.
Meriam dari sayap
Walaupun beraksi sebagai pemain sayap, namun begitu Nieto mempamerkan persembahan berkualiti sebagai pemain serangan terutamanya di depan gol.
Nieto ibarat mempunyai meriam di kakinya, kerana bersama kelab semasa iaitu Phnom Penh Crown, dia menggegar Liga Kemboja dengan 17 gol.
Nieto (kanan) ibarat mempunyai meriam pada kaki kanannya. — Phnom Penh Crown
Rekod itu membuatkan dia kini menduduki tempat kedua dalam perebutan kasut emas di belakang Ramon Tanque (Visakha FC) yang menghasilkan 19 gol.
Ia membuatkan Nieto persis bekas penyerang Colombia milik Selangor, Ayron del Valle yang juga tajam di depan gol. Adakah mereka akan menemui yang serupa dengan del Valle dalam diri Nieto?
Boleh tolak ke tengah
Walaupun secara asalnya Nieto merupakan pemain sayap, namun dia mempunyai versaliti untuk beraksi di posisi lain.
Dia juga boleh beraksi di bahagian tengah namun bukannya sebagai penyerang utama sebaliknya pemain tengah menyerang atau attacking midfielder.
Nieto sudah dua kali bergelar juara Kemboja. — Phnom Penh Crown
Kebolehan itu menampakkan kualitinya secara teknikal dan bukan saja penyudah, Nieto juga mempunyai kebolehan melakukan umpanan kepada penyerang di hadapannya dalam memburu gol.
Secara keseluruhan, Nieto menampakkan potensi yang besar untuk Selangor. Jika kena pada taktikalnya, dia boleh menyerlah di Liga Super dan mencuri hati penyokong Gergasi Merah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram