Hanya tajaan swasta boleh selamatkan Sri Pahang, mungkin tukar nama ‘Darul Makmur FC’, stadium jadi warna oren


  • Podium
  • Jumaat, 09 Mei 2025

Masih tiada sebarang usaha untuk memastikan skuad Tok Gajah terus bersaing dalam arena bola sepak tempatan musim depan. — Facebook/Sri Pahang FC

MESKIPUN sudah pelbagai laporan mengatakan skuad Tok Gajah tidak akan bersaing musim depan, kelab berkenaan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung hal tersebut.

Ini kerana kata putus berhubung status sesebuah pasukan hanya boleh diberikan pihak pengurusan sendiri serta Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang akan menyatakan sama ada permohonan lesen kebangsaan diluluskan atau sebaliknya.

Jadi, ini memberi ruang buat kelab Pantai Timur terbabit untuk terus mendapatkan sumber kewangan baharu yang perlu berusaha keras menanggung kos operasi tinggi dan meningkat saban tahun.

BACA LAGI: 'Kegagalan ACLE satu keputusan tidak realistik jika JDT buang Bidoglio'

BACA LAGI: 'Jangan ulangi silap lama', Kedah wajar berehat semusim dari Liga Super elak kewangan terus tenat

Tengku Abdul Rahman difahamkan bukan lagi pemegang saham terbesar skuad Tok Gajah. Facebook/Sri Pahang FC

Persoalannya, pihak manakah yang boleh membantu Sri Pahang FC kerana pemiliknya sebelum ini, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah juga tidak dapat membantu kelab berkenaan.

Beliau yang merupakan Tengku Muda Pahang amat berminat dengan sukan bola sepak, namun pelaburan mencecah jutaan ringgit dianggap gagal membawa pulangan berbaloi, dari segi tarikan penyokong ke stadium dan wang ringgit.

Oleh itu, bagi pemerhati bola sepak tempatan, Afiq Rowley, jalan terbaik untuk Sri Pahang FC adalah dengan mencari sumber kewangan dari pihak persendirian yang bersedia membantu pasukan.

"Situasi sekarang sukar. Bukan saja Sri Pahang, tapi kebanyakan pasukan sukar dapatkan syarikat swasta untuk tajaan. Jika masih nak kekal, Sri Pahang perlu usaha dapatkan juga tajaan swasta dengan beri proposal sebanyak mungkin kepada syarikat diyakini," katanya kepada Majoriti.

Sebelum ini, beberapa individu menyatakan hasrat untuk memperolehi pegangan saham pasukan Pantai Timur terbabit, termasuk Datuk Mohd Nazrul Izad Arsad yang merupakan usahawan hartanah di negeri terbabit.

Afiq percaya Sri Pahang FC perlu mencari sumber kewangan baharu daripada pihak swasta. Facebook/Afiq Rowley

Bagaimanapun, minat sedemikian tidak menjanjikan kestabilan buat skuad Tok Gajah kerana pengalaman lalu menyaksikan perubahan tampuk pemerintahan gagal membawa perubahan seperti mana diharapkan.

Sekiranya pihak swasta atau mana-mana syarikat swasta berjaya berbuat demikian, terdapat kemungkinan beberapa perubahan ketara perlu dilakukan terhadap pasukan.

Ini termasuk langkah mengubah nama kelab dengan ramai beranggapan 'Darul Makmur FC' sebagai pengganti terbaik kerana ia masih melambangkan negeri berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, terdapat kemungkinan Sri Pahang FC perlu mengubah warna Stadium Darul Makmur sebagai venue utama pasukan berdasarkan kemahuan pemegang saham baharu.

Ini pernah dilakukan semasa usahawan tempatan, Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida yang mengecat Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan kepada warna merah jambu ketika bergelar pemilik Kelantan FC.

Terdapat kemungkinan perubahan akan disaksikan terhadap Stadium Darul Makmur sekiranya perolehan itu berlaku.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai usaha yang sedang dilakukan kelab itu di belakang tabir, Afiq sukar memberi jawapan kerana tidak dapat dipastikan hala tuju pasukan terbabit.

"Masa depan Sri Pahang sendiri masih terumbang ambing tanpa status sebenar untuk kekal atau tidak. Tapi seeloknya saya suka untuk melihat Sri Pahang terus kekal," katanya lagi.

Selain skuad Tok Gajah, beberapa pasukan lain difahamkan tidak akan bersaing bagi kempen akan datang, termasuk Kedah Darul Aman (KDA) FC, Kelantan Darul Naim (KDN) FC serta Perak FC,

MFL sebelum ini memberi 'talian hayat' kepada semua pasukan bermasalah dengan melanjutkan permohonan lesen kebangsaan ke Sabtu, namun kesemua yang berdepan masalah masih berdiam diri tanpa sebarang perkembangan dikongsikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram