'Sirih pulang ke gagang,' Fandi Ahmad ikut jejak Nafuzi Zain-Ong Kim Swee dan otai Gergasi Merah


  • Podium
  • Sabtu, 10 Mei 2025

Fandi Ahmad berpotensi menjadi pengendali KL City FC musim depan. — Facebook/Sri Pahang FC

KANCAH bola sepak tempatan terus dirundung malang apabila timbul khabar angin bahawa pasukan Sri Pahang FC mungkin tidak akan beraksi dalam saingan liga musim depan.

Berita mengejutkan itu semakin hangat diperkatakan di media sosial, yang mana dikatakan pemain-pemain Sri Pahang telah menerima surat yang menyatakan skuad Tok Gajah akan mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Super.

Walaupun tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak pengurusan pasukan setakat ini, terdapat maklumat yang mengesahkan keputusan tersebut adalah muktamad.

BACA LAGI: Sayang tinggalkan Malaysia, 3 import hanya salin baju kelab Liga M

BACA LAGI: Saham mencanak lepas gegar gawang JDT, bintang Sri Pahang kini diburu Selangor-Melaka

Fandi Ahmad kini berada dalam radar pasukan Lembah Klang. — Facebook/Sri Pahang FC

Sebelum ini, pemilik Sri Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah mengumumkan pengunduran dirinya, yang memberi petunjuk bahawa naib juara Piala Malaysia 2024/25 ini tidak akan menyertai saingan musim depan.

Dalam pada itu, pembubaran Sri Pahang itu membuka peluang bagi kelab-kelab tempatan lain untuk menawarkan kontrak kepada pemain-pemain berkualiti, terutamanya yang masih muda.

Terbaharu, pengendali Tok Gajah, Fandi Ahmad difahamkan menjadi sasaran pasukan Liga Super, Kuala Lumpur (KL) City FC, yang juga melakukan rombakan besar-besaran bagi musim akan datang.

Khabar angin mengenai perpindahan Fandi itu mengingatkan penyokong bola sepak tempatan tentang kepulangan tiga pengendali Liga Super yang kembali ke kelab lama mereka.

Fandi bukanlah asing dengan kelab Lembah Klang itu kerana pernah beraksi dari 1986 hingga 1989 dan melakar beberapa rekod termasuk penjaring terbanyak sepanjang zaman dengan 67 gol. Rekod itu kini dipintas penyerang Harimau Malaya dan kapten kelab, Paulo Josue.

Tempoh itu menyaksikan dia membantu pasukan itu meraih gelaran juara liga pada 1988 dan Piala Malaysia sebanyak tiga kali.

Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga Ketua Jurulatih tanah air yang pernah menabur bakti bersama kelab terdahulu.

1. Nafuzi Zain (Kedah Darul Aman FC)

Nafuzi Zain kembali mengemudi Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada Disember 2022, menggantikan Aidil Sharin Sahak yang melepaskan jawatan.

Sebelum itu, Nafuzi telah meninggalkan Terengganu FC selepas berjaya membawa pasukan tersebut menamatkan Liga Super 2022 di tempat kedua, meraih slot Piala AFC, serta naib juara Piala FA 2022.

Di Kedah, Nafuzi berjaya membawa pasukan menamatkan Liga Super 2023 di tempat keempat dan mara ke separuh akhir Piala FA 2024.

Bekas pengendali Sang Kenari, Nafuzi Zain. — Facebook/KDAFC

Namun, pada 24 November 2024, Nafuzi mengumumkan peletakan jawatan sebagai ketua jurulatih kerana isu kewangan yang melanda kelab tersebut tidak menemui jalan penyelesaian.

Kini, Nafuzi dilantik sebagai Ketua Jurulatih skuad B-23 kebangsaan dengan fokus utama pada Kejuaraan B-23 ASEAN 2025, Kelayakan Piala Asia B-23 2026 dan Sukan SEA 2025 di Thailand.

Untuk rekod, Nafuzi memulakan karier bola sepak profesionalnya bersama Terengganu FA pada 1998, yang mana dia memenangi Piala FA 2000 dan Piala Malaysia 2001.

Pada 2007, dia berpindah ke Kedah FA dan membantu pasukan meraih treble iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

2. Nidzam Jamil (Selangor FC)

Nama Nidzam Jamil cukup dikenali oleh penyokong Gergasi Merah, khususnya bagi mereka yang mengikuti perjalanan Selangor FC.

Dilahirkan di Kajang, Nidzam merupakan bekas pemain Selangor dari 2000 hingga 2004, dengan pencapaian cemerlang seperti memenangi Piala FA (2001), Piala Sumbangsih dan Piala Malaysia (2002).

Selain rekod cemerlang sebagai pemain, Nidzam juga berjaya membuktikan kepimpinannya sebagai Ketua Jurulatih sejak 2010, bersama SPA FC dan Felda United FC.

Pada November 2021, Nidzam kembali ke Selangor FC sebagai Penolong Ketua Jurulatih, sebelum dilantik sebagai Ketua Jurulatih 'interim' bagi beberapa perlawanan pada tahun yang sama.

Nidzam Jamil kini tidak lagi mengemudi Selangor FC. — Facebook/Sselangorfc

Jurulatih berusia 45 tahun itu kemudiannya kembali menjadi Penolong Ketua Jurulatih selepas pelantikan Tan Cheng Hoe sebagai pengendali Gergasi Merah.

Nidzam kembali memimpin Selangor FC bagi musim 2024/25 selepas Cheng Hoe meninggalkan pasukan untuk mengemudi Police Tero. Namun, dia secara rasmi berpisah dengan Gergasi Merah selepas mengendalikan pasukan dalam 13 perlawanan Liga Super musim ini.

Di bawah bimbingannya, Selangor berada di kelompok teratas Liga Super, muncul naib juara Piala FA, serta menduduki tempat pertama dalam Kumpulan H AFC Champions League Two.

Untuk rekod, Nidzam menghabiskan majoriti daripada kariernya di Selangor dengan pelbagai kejayaan ditempah pada awal era 2000-an.

3. Datuk Ong Kim Swee (Sabah FC)

Datuk Ong Kim Swee kembali mengemudi Sabah FC pada 1 Oktober 2021 selepas meletakkan jawatan sebagai Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Di bawah bimbingannya, Sabah FC mencatatkan pencapaian cemerlang, termasuk menamatkan Liga Super dalam kelompok tiga teratas selama dua musim berturut-turut dan mara ke separuh akhir Kejohanan Piala AFC pada musim lalu.

Namun, pada November 2024, Kim Swee mengumumkan perpisahan dengan Sabah FC selepas kontraknya tamat pada 30 November 2024.

Beliau menyatakan keputusan tersebut dibuat dengan rasa berat hati dan memilih untuk memilih haluan berbeza selepas tiga tahun bersama kelab tersebut.

Kim Swee kini mengemui Persis Solo. — Facebook/Sabahfc

Selepas meninggalkan Sabah FC, Kim Swee dilantik sebagai ketua jurulatih baharu kelab Liga 1 Indonesia, Persis Solo pada 25 November 2024.

Pelantikan itu dibuat selepas pengendali sebelumnya, Milomir Seslija meninggalkan pasukan tersebut pada Oktober 2024.

Untuk rekod, Kim Swee menyertai Sabah FA pada akhir 1994 selepas beraksi bersama Sarawak FA. Sepanjang bersama Sabah, beliau membantu pasukan menjuarai Piala FA 1995 dan Liga Malaysia 1996. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram