
MASA depan kelihatan samar buat Kedah Darul Aman FC akibat masalah kewangan yang dihadapi mereka. Adakah mereka akan terus bertanding di Liga Super?
Jawapannya masih belum diketahui. Di pihak penyokong pula, pastinya mereka berharap agar keadaan menjadi lebih baik supaya Kedah tidak terkubur dari peta bola sepak Malaysia.
Tetapi bagaimana caranya? Adakah Kedah perlu bertenang dahulu atau teruskan juga beraksi dalam Liga Super musim depan?
BACA LAGI: Kedah-Sri Pahang-Sabah FC antara kelab paling banyak 'own goal' musim ini
BACA LAGI: Kedah tawar bekas bintang Portugal jawatan TD, petanda sedia kembali menjadi pencabar Liga Super
Kedah wajar berehat selama semusim untuk baiki masalah kewangan. — Kedah Darul Aman FC
Bagi pemerhati bola sepak tempatan, Afiq Rowley, dia berpendapat skuad Kedah perlu menekan butang reset dengan berehat sebentar daripada Liga Super.
Padanya, Kedah perlu berehat sekurang-kurangnya semusim bagi membersihkan semula segala yang rosak terutamanya berkaitan kewangan.
"Pada saya, ia adalah wajar. Selesaikan semua hutang dan tunggakan lama sehingga ia kembali stabil. Gunakan modal baharu untuk naikkan semula nama pasukan. Dengan syarat, jangan ulangi silap lama.
"Pada saya tidak perlu untuk Kedah bertanding di Liga Super walaupun dapat lesen bersyarat. Sebab kemelut semasa masih lagi tak diselesaikan. Jika lesen diberikan, situasi sama bakal berulang lagi," kata Afiq kepada Majoriti.
Bagi Afiq, rehat selama semusim itu perlu digunakan sebaiknya oleh Kedah untuk memastikan segala masalah kewangan dapat diatasi.
Penstrukturan semula harus direncana supaya pengurusan Kedah dapat menyelesaikan isu kewangan dengan baik dan membiarkan perkara sama berlaku lagi.
Namun begitu, jika Kedah benar-benar mahu terus bertanding, mereka perlu bertindak bijak dengan mendapatkan tajaan untuk musim depan.
"Pastikan segala masalah dapat diselesaikan sepenuhnya pada masa yang ada. Jangan keluarkan kos untuk cipta perkara baharu, kerana itu akan meningkatkan lagi kos kelab.
"Perlu lakukan penstrukturan semula dan dapatkan tajaan dengan nilai yang sangat kukuh jika masih mahu bertanding. Tapi pandangan saya, rehatlah seketika. Berbekalkan semangat tapi kewangan masih teruk pun tak guna," jelas Afiq. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram