Berpotensi sebagus Arif Aiman, ‘ubi muda’ JDT dari Kedah patut dapat panggilan lawan Vietnam


  • Podium
  • Khamis, 17 Apr 2025

Ruo Han dilihat mempunyai potensi menjadi sebagus Arif Aiman.

WALAUPUN bola sepak kita sedang teruja menyambut pelbagai pemain warisan ke dalam skuad kebangsaan, namun masih ada pemain muda yang sentiasa menarik perhatian dengan potensi besar ditampilkan mereka.

Salah seorangnya adalah pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu Chia Ruo Han. Pemain skuad Piala MFL Harimau Selatan itu menarik perhatian ramai dengan persembahan memukaunya ketika bertemu Penang FC dalam kejohanan tersebut.

Melihat kepada persembahannya, ia membuatkan ramai beranggapan Ruo Han yang berasal dari Kedah mempunyai potensi tinggi untuk berjaya.

BACA LAGI: Curi 'limelight' pemain senior, larian bekas pelajar SMK Kulim bantu JDT II rangkul trofi Piala MFL

BACA LAGI: Ingatan buat Selangor FC II, kekal pendirian tak turun bintang senior aksi penutup Piala MFL

Hal ini kerana, pemain berusia 23 tahun itu dilihat mempunyai teknik yang baik selain larian derasnya serta tenang semasa mengatur serangan.

Ramai yang beranggapan dia mempunyai potensi besar walaupun sudah 23 tahun. Seandainya diberikan peluang, Ruo Han mampu untuk menjadi sebagus bintang Harimau Malaya, Arif Aiman.

"Tak lama nanti boleh digandingkan dengan Arif Aiman. Padu ni," kata akaun Fanatik Bola.

"Jangan diperam lama-lama, (dia) sangat sesuai dengan Arif Aiman," komen Nvc Azzari.

"Wajib diberikan peluang, dan dia mesti ambil peluang itu untuk menjadi setaraf Arif Aiman," ujar Izam Izam.

Melihat kepada kualitinya yang mampu menyumbang kepada jaringan gol, ada yang mahukan jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski memanggilnya untuk aksi kelayakan Piala Asia 2027 bertemu Vietnam.

Dengan Malaysia ketandusan penyerang tajam, mungkin Ruo Han adalah penawar yang mungkin kita semua tidak pernah sangka.

"Cuba panggil dia untuk lawan Vietnam. Dia ada visi dan misi sebagai penyerang, rugi kalau tak diketengahkan," komen penyokong bernama Pherox Pherox.

"Dia ibarat sebutir permata untuk JDT, dia ada integriti sebagai seorang penyerang," ujar Tosrin Jarvanthi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram