
STATUS tiada tindakan lanjut atau No Further Action (NFA) bagi kes serangan asid ke atas Faisal Halim bukanlah bermaksud siasatan sudah ditutup pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Namun, sebaliknya, status itu menjelaskan penahanan tiga suspek sebelum ini selain beberapa petunjuk lain termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan ‘photo fit’ diedarkan polis tidak mempunyai kaitan dengan kes itu.
Memetik laporan Buletin TV3, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, perkara itu adalah Prosedur Operasi Standard (SOP) biasa dalam mana-mana siasatan.
BACA LAGI: [VIDEO] Tiga ahli sindiket curi pikap ditembak mati di Kedah
BACA LAGI: Kertas siasatan komen jelik nahas helikopter TLDM dirujuk ke Pejabat Peguam Negara — Shuhaily
Shuhaily turut menjelaskan punca di sebalik keputusan polis melepaskan ketiga-tiga suspek sebelum ini.
Sekiranya tangkapan tidak mempunyai kaitan atau membantu siasatan, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) akan mengklasifikasikan kes sebagai NFA sehingga wujud perkembangan atau maklumat baharu.
“Sekiranya tangkapan tidak mempunyai kaitan atau membantu siasatan, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) akan mengklasifikasikan kes sebagai NFA sehingga wujud perkembangan atau maklumat baharu. Justeru dalam kes ini, siasatan masih diteruskan dan kertas siasatan berkenaan akan dirujuk semula sekiranya perlu,” katanya.
Mengulas lanjut berhubung kes berkenaan, Mohd Shuhaily menjelaskan, ketiga-tiga suspek dibebaskan kerana suspek sebenar menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Photo fit diedarkan pihak polis yang dipercayai suspek di sebalik serangan tersebut.
Hasil analisis forensik terhadap telefon ketiga-tiga mereka juga mendapati tiada bukti atau perbualan yang menunjukkan mereka terbabit dalam kes itu selain rakaman CCTV dan photo fit diedarkan juga tidak dapat merungkai pelaku sebenar.
Pada Khamis, peguam yang mewakili Faisal Halim menyatakan pihak berkuasa mengklasifikasikan kes tersebut sebagai NFA kerana tiada sebarang bukti baharu diperolehi berhubung siasatan.
Status tersebut kemudian mengecewakan penyerang sayap Selangor FC tersebut yang menjadi mangsa keganasan tersebut pada 5 Mei tahun lalu ketika mengunjungi sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, Selangor.
Penjaring gol terbaik Piala Asia 2023 itu dilaporkan mengalami kecederaan melecur tahap sehingga terpaksa menjalani pembedahan beberapa kali ekoran insiden itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram