Kes simbahan asid diklasifikasi NFA, Faisal Halim kecewa tapi faham


  • Podium
  • Khamis, 08 Mei 2025

Insiden menimpa Faisal Halim tidak membuahkan sebarang hasil selepas setahun daripada kes tersebut.

SIASATAN terhadap kes simbahan asid ke atas pemin negara, Faisal Halim sudah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) daripada pihak berkuasa.

Hal tersebut disampaikan peguam mewakili penyerang sayap Selangor FC berkenaan, Tetuan Mohd Ashraf, Nik Zarith & Co dalam satu sidang media di Kajang, Selangor pada Khamis.

"Sepanjang tempoh siasatan kes, pihak kami mengambil beberapa langkah proaktif bagi memastikan kes ini diberi perhatian sewajarnya. Ini termasuklah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pegawai penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membantu mereka membuat siasatan menyeluruh.

BACA LAGI: Faisal Halim antara penerima Darjah, Bintang Sultan Selangor

BACA LAGI: [VIDEO] 'Genap setahun peristiwa banyak ajar saya', Faisal Halim kental pamer karakter ‘true warrior’

Faisal menjadi mangsa serangan asid semasa berada di pusat membeli-belah.

"Bagaimanapun, kami menerima satu surat dari Jabatan Peguam Negara yang memaklumkan pihak kami bahawa kes ini sudah diklasifikasikan sebagai 'Tiada Tindakan Lanjut (NFA)" katanya.

Pada 5 Mei tahun lalu, Faisal yang berada di sebuah pusat membeli belah menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali dengan kes itu menggemparkan pelbagai pihak.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), serangan dilakukan seorang individu yang kemudian melarikan diri menggunakan sebuah motosikal bersama seorang lagi rakannya.

Siasatan kemudiannya dilakukan pihak polis sebelum diambil alih Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman, namun tiada sebarang bukti baharu bagi memburu suspek terlibat.

Peguam yang mengendalikan kes serangan asid kepada Faisal Halim. Berita Harian

Dalam pada itu, peguam kepada Faisal menjelaskan pemain berkenaan kecewa akan perkembangan tersebut, namun faham sambil menegaskan dia bersedia untuk bekerjasama sekiranya terdapat sebarang perkembangan dalam hal tersebut.

"Sebagai seorang mangsa, dia kecewa tetapi faham bahawa kita ada undang-undang dan semua siasatan berhubung kes jenayah ini perlu berlandaskan undang-undang.

"Di Malaysia ini, pihak berkuasa yang menyiasat kes jenayah adalah polis. Namun, bagi pihaknya, dia kecewa tetapi mahu bergerak ke hadapan kerana dia juga sudah kembali ke atas padang," katanya.

Selepas kira-kira tiga bulan mengalami serangan itu, Faisal akhirnya beraksi semasa Selangor FC berdepan Kelantan Darul Naim (KDN) FC di laman sendiri pada Ogos.

Perkembangan ditonjolkan jelas membuktikan keazaman kerana pemain tersebut berjaya mencetak hatrik dalam saingan Liga Super sebelum dipanggil ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski semasa menentang Nepal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram