[VIDEO] 'Genap setahun peristiwa banyak ajar saya', Faisal Halim kental pamer karakter ‘true warrior’


  • Podium
  • Rabu, 07 Mei 2025

Faisal menunjukkan karakter berbeza kerana berjaya kembali ke atas padang tidak lama selepas menjadi mangsa simbahan asid.

MANA-MANA peminat bola sepak tanah air pasti tidak boleh melupakan momen gelap yang berlaku pada 5 Mei tahun lalu apabila pemain kebangsaan, Faisal Halim menjadi mangsa simbahan asid.

Insiden yang berlaku di sebuah pasaraya itu terus menjadi misteri kerana sehingga hari ini, pihak polis belum menahan suspek terlibat dengan orang ramai terus tertanya-tanya dalang di sebalik serangan tersebut.

Persoalan berkenaan pasti juga bermain di fikiran Faisal yang mahukan keadilan memandangkan momen tersebut memberi impak hebat terhadap hidup serta kariernya di atas padang.

BACA LAGI: Keadaan Faisal belum sesuai ke Indonesia, Alex nasihat kekal dulu di Selangor

BACA LAGI: [VIDEO] Sahkan kontrak di Selangor sehingga 2027, Faisal Halim tertarik beraksi di Indonesia

Faisal menjadi mangsa simbahan asid ketika berada di pusat membeli-belah.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Pulau Pinang itu enggan mengibarkan bendera putih kerana kurang daripada lima bulan selepas serangan tersebut berlaku, dia sudah kembali beraksi buat Selangor FC.

Meskipun rentak permainannya tidaklah sama seperti dahulu, Faisal membuktikan dirinya seorang yang cekal dalam menimpa setiap aral melintang dalam kehidupannya.

Malah, dia juga menunjukkan keazaman untuk lari daripada detik hitam itu kerana pada Selasa, Faisal membuat satu hantaran di Instagram peribadinya selepas setahun insiden berkenaan menimpa dirinya.

Perkongsian itu disertakan kapsyen menyatakan penghargaannya terhadap semua pihak yang menghulurkan bantuan dan setiap doa disampaikan yang memberi kekuatan buat dirinya.

"Genap setahun peristiwa yang banyak mengajar saya tentang kehidupan. Saya amat bersyukur dan berterima kasih atas doa semua yang kenal dan tidak kenali diri ini.

"Terima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Amir Shah. Dalam masa sama, sokongan tinggi daripada keluarga saya, isteri dan anak, abah mama abang kakak ipar dan mertua saya,buat saya berdiri teguh sampai hari ini," tulisnya.

Hantaran menyentuh hati itu sudah ditonton ribuan pengguna Instagram dengan 9,000 daripadanya sempat mengetik 'like' selain ratusan komen turut dicurahkan bagi memberi sokongan kepada Faisal.

"Anda memang kuat Mickey, teruskan bermain bola sepak. Teruskan bermain untuk negara tercinta dan kelab yang sudah menjaga anda Mickey. Kami sebagai penyokong Malaysia dan Selangor FC khususnya mengharapkan anda terus berbakyi buat Malaysia," kata Akram Al-Banjari.

"Sebak tonton video ini, terus kuat dan 'keep on fighting', Mickey," kata Falique Zulkifli.

"Selepas mendung gelap, pasti akan ada cerah. Insya-ALLAH," kata Aqeem Zam.

Ketika ini, kesihatan Faisal Halim sudah kembali ke tahap terbaik dengan persembahannya bersama skuad Gergasi Merah sudah menerima respons baik daripada peminat Gergasi Merah.

Tidak cukup dengan itu, keazaman ditonjolkan setiap kali beraksi menyaksikan pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski memanggilnya ke dalam skuad kebangsaan semasa kempen Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal.

Perubahan positif ditonjolkan Faisal itu diharapkan mampu diteruskan dengan orang ramai sudah tentu merindui kelincahan dan gelagatnya seperti dahulu kala. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram