
PENSWASTAAN Liga Malaysia (Liga M) sebenarnya masih belum boleh dianggap gagal, sebaliknya ia memerlukan kelab lebih bertanggungjawab dalam menjayakannya.
Itulah pandangan Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John yang berasakan kelab perlu lebih serius dalam menguruskan diri mereka sendiri.
Era penswastaan Liga M berdepan liku besar apabila majoriti kelab berdepan isu tunggakan gaji dengan ada yang berhasrat menarik diri pada musim depan.
BACA LAGI: [VIDEO] Timbalan Presiden FAM sifatkan penswastaan kelab Liga M gagal
BACA LAGI: Jika tak mampu bersaing, jangan hasut tarik diri’, TMJ tegur mentaliti mundur bola sepak Malaysia
Datuk Seri Windsor John Paul.
Bagi Windsor, penswasataan Liga M berada di fasa yang baik cuma kelab perlu lebih profesional dalam pengurusan termasuklah ketika mengendalikan kewangan.
Menurutnya, kelab perlu lebih bertanggungjawab perlu lebih bijak dalam menguruskan pelbagai perkara.
"Saya tidak melihat penswastaan liga ini adalah satu kegagalan sebaliknya ini adalah satu proses untuk lebih bergerak ke hadapan.
"Inilah masanya untuk kelab-kelab belajar untuk memenuhi kriteria dan ketetapan yang telah AFC tetapkan. Sampai bila nak berada di takuk lama, kelab-kelab perlu lebih proaktif dan belajar tentang selok belok pengurusan kelab yang profesional.
"Jangan salahkan penswastaan itu sebab tanggungjawab yang sebenar adalah di bawah pengurusan kelab itu sendiri yang perlu lebih bijak untuk menguruskan daripada pelbagai aspek.
"Peraturan dan ketetapan oleh AFC sebenarnya sama sahaja dengan liga-liga yang lain, jadi saya percaya kalau ada kelab di Liga Malaysia ini yang boleh memenuhi peraturan, kenapa ada pasukan yang tidak boleh", ujar Windsor kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Sebelum ini, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi berkata langkah penswastaan Liga M dilihat sebagai gagal.
Kata Yusoff, faktor kewangan yang mencengkam membuatkan proses itu tidak berjaya direalisasikan.
"Kalau melihat kepada apa yang berlaku sekarang ini, saya boleh anggap ia adalah kegagalan-lah.
"Maksudnya, pada awalnya kami berasakan dengannya (penswastaan kelab), kita akan dapat melonjakkan lagi bola sepak kita. Pasukan akan dijalankan secara profesional sepenuhnya kerana sebelum ini pasukan masih terikat dengan persatuan.
"Tetapi dalam konteks Malaysia, rupanya tidak boleh. Belum boleh berlaku.
"Apabila FC dikendalikan sepenuhnya oleh syarikat yang tiada hubungan dengan persatuan, kebanyakan pasukan yang tidak mampu ini saya lihat mereka tiada langsung hubungan dengan kerajaan negeri," kata Yusoff. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram