
PEMILIK kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menzahirkan rasa kecewa terhadap mentaliti sesetengah pihak dalam bola sepak Malaysia yang tidak profesional dan jauh daripada semangat persaingan sihat.
Baginda menegaskan bahawa dominasi JDT bukan sekadar soal penyertaan, sebaliknya berakar daripada usaha konsisten untuk terus berkembang dan meningkat dari tahun ke tahun.
Baginda turut menyentuh mengenai ‘pesaing’ yang dilihat lebih banyak merungut dan mengadu mengenai kemampuan mereka untuk bersaing dengan skuad Harimau Selatan, kelab yang telah mencipta rekod cemerlang dalam dan luar negara.
BACA LAGI: Rehabilitasi di Croatia gagal pulihkan kecederaan Ivan Mamut, TFC nafi dakwaan tunggakan gaji
BACA LAGI: Bekas coach KDA FC B dilantik Pengarah Teknikal Penang FC
TMJ (tengah) bersama skuad Harimau Selatan. — Facebook/JST
Menurut TMJ dalam satu kenyataan di laman Facebook JOHOR Southern Tigers, terdapat segelintir pihak yang berusaha menghasut pasukan-pasukan lain untuk menarik diri daripada liga, dengan alasan bahawa liga ini sudah 'mati'.
Baginda menganggap mentaliti seperti itu memalukan dan bertentangan dengan semangat persaingan yang seharusnya ada dalam kalangan pasukan bola sepak tempatan.
"Ia bukan sekadar tentang penyertaan. Ia sentiasa tentang penguasaan dan peningkatan sejak dari awal lagi. Satu persoalan, dengan segala propaganda dan kempen yang mereka buat selama ini, apakah perubahan dan perbezaan yang mereka telah capai? Kosong! Sedangkan kami terus berkembang, bertambah baik dan meningkat ke tahap yang lebih tinggi setiap tahun.
"Lucu apabila segelintir ‘pesaing’ kami sering merungut dan mengadu kononnya mereka tidak dapat bersaing dengan kami, sehingga menghasut bahawa semua pasukan patut tarik diri dan kononnya liga ini sudah mati," ujar baginda.
Johor Darul Ta'zim berjaya mempertahankan gelaran juara bertahan Liga Super. — Facebook/JST
Baginda turut menyifatkan dakwaan sedemikian bukan sahaja tidak masuk akal, malah memalukan, apatah lagi apabila dibandingkan dengan liga-liga di negara jiran yang memiliki semangat kompetitif lebih tinggi.
"Kita tidak lihat mentaliti sebegini dalam liga-liga lain walaupun ada pasukan yang jauh lebih mendominasi berbanding kelab lain. Ini memalukan dan negara jiran seperti Thailand serta Indonesia juga nampak jelas mentaliti bola sepak di Malaysia, jika tak mampu bersaing, lebih baik tarik diri.
"Sepatutnya kita mendesak pasukan-pasukan kita untuk bangkit, lebih profesional dan bersaing dengan kemampuan mereka.
"JDT juga tidak akan mampu bersaing di pentas Asia jika kita memiliki mentaliti seperti itu, kerana bajet kita jauh lebih rendah berbanding banyak pasukan lain, termasuk dari Asia Timur namun kita masih mampu menamatkan saingan di tempat ketiga daripada 12 pasukan pada musim ini," kata baginda.
TMJ turut menyeru agar semua pasukan bola sepak di Malaysia bersikap lebih profesional dan berusaha untuk bersaing mengikut kemampuan sendiri, bukan menyalahkan sistem atau menuduh pihak lain mendominasi secara tidak adil.
"Peminat bola sepak Malaysia sepatutnya berbangga kerana JDT mewakili Malaysia dan mempunyai kedudukan yang baik di peringkat Asia. Mengikut Opta Power Rankings, kami kini berada di tempat ke-10 di Asia.
"Mentaliti bola sepak di negara ini sedang mundur ke belakang, bukan kerana mereka inginkan apa yang anda ada, mereka cuma tidak mahu kita memilikinya," tegas TMJ. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram