
TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi melihat penswastaan kelab Liga Malaysia (Liga M) daripada FA kepada FC sebagai satu kegagalan besar,lapor Stadium Astro.
Beliau menyatakan bahawa tujuan penswastaan untuk meningkatkan profesionalisme pasukan-pasukan Liga M tidak tercapai, disebabkan oleh masalah kewangan yang terus menjadi halangan utama dalam perkembangan bola sepak tempatan.
Masalah kewangan tersebut berpotensi menyebabkan pasukan-pasukan besar seperti Kedah Darul Aman FC, Perak FC, Kelantan Darul Naim FC dan Sri Pahang FC terpaksa menarik diri daripada saingan Liga Super musim 2025-26.
BACA LAGI: ‘Jika tak mampu bersaing, jangan hasut tarik diri’, TMJ tegur mentaliti mundur bola sepak Malaysia
BACA LAGI: Pemain berkualiti sanggup terima gaji RM10,000 memang formula magis, tegas orang kuat Penang FC
Yusoff juga menegaskan bahawa kekurangan persefahaman antara kelab dan persatuan negeri semakin memburukkan keadaan, seperti dialami oleh Perak FC, yang menunjukkan kesukaran dalam menguruskan kelab secara berkesan dalam sistem penswastaan ini.
Yusof berpendapat kelab persendirian masih belum mampu untuk menggerakkan pasukan dan hanya campur tangan kerajaan negeri mampu menyelamatkan keadaan ketika ini.
"Kalau melihat kepada apa yang berlaku sekarang ini, saya boleh anggap ia adalah kegagalan-lah," katanya seperti dilaporkan pemerhati sukan tanah air, Fina Nasrom.
Yusoff turut menegaskan bahawa, walaupun penswastaan dijangka dapat meningkatkan prestasi pasukan dan memacu bola sepak tempatan ke arah yang lebih baik, realitinya menunjukkan sebaliknya.
Kelab yang dikendalikan sepenuhnya oleh syarikat tanpa sokongan persatuan negeri didapati gagal untuk bertahan, malah ada yang mengalami masalah kewangan yang kronik.
Keadaan tersebut memburukkan lagi senario bola sepak Malaysia, terutama apabila beberapa pasukan berpotensi untuk menarik diri daripada Liga M disebabkan oleh isu kewangan yang berlarutan.
"Maksudnya, pada awalnya kami berasakan dengannya (penswastaan kelab), kita akan dapat melonjakkan lagi bola sepak kita. Pasukan akan dijalankan secara profesional sepenuhnya kerana sebelum ini pasukan masih terikat dengan persatuan.
"Tetapi dalam konteks Malaysia, rupanya tidak boleh. Belum boleh berlaku.
"Apabila FC dikendalikan sepenuhnya oleh syarikat yang tiada hubungan dengan persatuan, kebanyakan pasukan yang tidak mampu ini saya lihat mereka tiada langsung hubungan dengan kerajaan negeri," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram