
SETELAH terlepas peluang menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) 2024/25, Arsenal kini hanya berpeluang menjulang trofi sekiranya mampu meraih kemenangan dalam kempen Liga Juara-Juara UEFA (UCL).
Mereka yang tidak menjuarai anugerah berprestij berkenaan bercita-cita berbuat demikian musim ini selepas mencipta kejutan dengan melangkah ke pusingan separuh akhir.
Kejayaan itu ditempa dengan kemenengan besar menerusi agregat 9-3 ke atas PSV Eindhoven di peringkat 16 pasukan terbaik sebelum mengejutkan juara bertahan, Real Madrid di pentas suku akhir.
BACA LAGI: Arteta dedah hubungi Guardiola, rahsia Arsenal benam Real Madrid kali pertama sejak 2009
BACA LAGI: [VIDEO] Eriksen perli kesilapan Arsenal, Arteta 'koyak' cicir mata di Old Trafford
Arsenal mencipta kejutan dengan menundukkan Real Madrid di pusingan suku akhir. — Agensi
Kedua-dua keputusan berkenaan pasti menjadi penyuntik motivasi buat skuad The Gunners dengan pengurusnya, Mikel Arteta menganggap kempen kali ini mencatatkan satu lembaran sejarah baharu buat kelab tersebut.
"Anda boleh berasakan sejarah baharu yang tercatat, lebih-lebih lagi kerana terdapat ramai individu sudah lama berkhidmat dalam kelab ini, namun tidak pernah berasakan pengalaman sebegini.
"Ia menceritakan betapa cantik dan indah kisah musim ini. Kita sedang sibuk mencipta sejarah baharu dan ia amat cantik, tetapi kami mahukan sesuatu yang lebih lagi," katanya.
Skuad The Gunners bakal berdepan juara Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG) di pentas separuh akhir dengan pertembungan pertama bakal berlangsung pada Selasa sebelum aksi timbal balik di Perancis pada 7 Mei.
Pasukan tersebut turut bercita-cita besar dalam kempen kali ini memandangkan mereka tidak pernah menjuarai pertandingan peringkat Eropah berkenaan dengan pencapaian terbaik adalah apabila melangkah ke pentas akhir pada 2020.
PSG dan Arsenal memiliki cita-cita tersendiri dalam saingan UCL musim ini. — Agensi
Kemaraan ke separuh akhir UCL menyaksikan Arsenal berjaya berbuat demikian buat kali pertama dalam tempoh 16 tahun dengan mereka ketika itu ditunjukkan jalan keluar oleh Manchester United.
Sejak itu, kelab London berkenaan hanya mampu melangkah ke pusingan suku akhir dengan kegagalan tersebut mahu dipadam Arteta dalam usaha merangkul kejuaraan kedua bersama pasukan tersebut.
Malah, pengurus kelahiran Sepanyol itu juga sempat berseloroh apabila mengingatkan penonton untuk hadir ke Stadium Emirates dengan pakaian sukan lengkap dalam usaha membakar semangat anak-anak buahnya.
"Kebolehan Arsenal meletakkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik Eropah menceritakan mentaliti, kesungguhan dan sebanyak mana kita mahu menjuarai UCL kali ini.
"Saya tidak bergurau tetapi saya menyeru orang ramai untuk turut membawa but serta berpakaian serba lengkap kerana kita akan beraksi bersama-sama. Anda mahukan sesuatu yang istimewa? Inilah tempat untuknya berlaku," kata Arteta. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram