
SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, isu kemerosotan kehadiran penyokong di stadium merupakan antara masalah besar yang membelenggu liga bola sepak Malaysia.
Manifestasi kepada perkara tersebut turut boleh dilihat menerusi sambutan suram peminat terhadap aksi final Piala Malaysia antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Sri Pahang FC baru-baru ini.
Ia selepas aksi akhir itu hanya berjaya menarik kehadiran 55,552 penyokong, iaitu satu angka jauh lebih rendah daripada kapasiti penuh Stadium Nasional Bukit Jalil yang mampu menampung 80,000 penonton.
BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal
Pelbagai faktor dipercayai menjadi punca kepada situasi tersebut daripada tahap persaingan yang menurun, masalah kewangan kelab sampai menjejaskan prestasi di atas padang dan sehingga mutu pengadilan yang sering kali didakwa mengecewakan.
Namun, perkembangan tersebut tidak membawa maksud bahawa peminat bola sepak tanah air sudah pun langsung meninggalkan sukan tersebut yang memiliki tarikannya tersendiri.
Perkara ini turut dikongsikan oleh pemerhati bola sepak tempatan, Zuraimi Zukri yang berkongsikan mengenai sambutan hangat orang ramai terhadap sebuah perlawanan persahabatan yang diadakan di Kelantan.
"Malam ini ada dua perlawanan persahabatan, satu di Kedah dan satu lagi di Kelantan.
"Di Kelantan ia melibatkan pasukan bekas pemain zaman gemilangnya bertemu bekas pemain Pahang yang handal-handal.
"Pasukan orang tua lokal, tiada import, tiada warisan dan tiada naturalisasi. Tadi Azzammuddin (Akil) score dan disusuli Norshahrul Idlan.
"Nampaknya perlawanan persahabatan lagi ramai yang datang tengok berbanding perlawanan liga profesional," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Untuk rekod, aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad I, Kota Bharu, Kelantan pada Sabtu itu merupakan perlawanan amal antara bekas pemain pasukan The Red Warriors (TRW) dan Pahang.
Zuraimi menyifatkan kehadiran penyokong pada perlawanan tersebut membuktikan masih terdapat peminat yang dahagakan kepada kemeriahan bola sepak Malaysia.
"(Cumanya) ia mungkin bermakna fans tak suka tengok benda bermasalah tidak kira dari pengurusan kelab atau pengurusan liga.
"Orang nak duduk, rehat dan gembira lepas penat berkerja, bukan nak memikirkan masalah atau menambah beban di kepala," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram