Nilai pasaran naik RM4.89 juta, hasrat JDT rekrut Dion Cools tertunda lagi


  • Podium
  • Sabtu, 03 Mei 2025

Cools menyertai Buriram United pada musim 2022 dan kekal menjadi tonggak pertahanan kelab itu. — Instagram/DionCools

PRESTASI cemerlang pemain pertahanan kebangsaan Malaysia, Dion Cools menjadi antara faktor utama kejayaan kelab Thailand iaitu Buriram United dalam kempen Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) musim ini dan peringkat domestik.

Cools mempamerkan aksi konsisten dan penuh disiplin di benteng pertahanan, membantu kelab gergasi Thailand itu mara ke peringkat suku akhir buat kali pertama sejak beberapa musim lalu.

Di pentas domestik pula, kehadiran Cools turut memberi impak besar apabila Buriram United berjaya mengekalkan kejuaraan Liga Thailand musim ini, sekali gus memperkukuh dominasi mereka dalam saingan bola sepak negara Gajah Putih itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Dion Cools 'bertikam lidah' dengan graduan PSG lepas kelab ditewaskan BG Pathum

BACA LAGI: [VIDEO] Karakter kapten terserlah di Vietnam, bintang pinjaman JDT calon terbaik ganti tugas Dion Cools

Sejak menyertai Buriram United, Cools telah menjadi tonggak utama pasukan dengan pemain warisan Belgium-Malaysia itu merekodkan 108 penampilan dan beberapa kali disenaraikan dalam Kesebelasan Terbaik Mingguan liga.

Selain itu, pemain berusia 28 tahun berkenaan juga membantu menghasilkan tujuh gol dan 12 bantuan jaringan meskipun beraksi di posisi bek tengah, pertahanan kanan dan kiri serta kadang-kala sebagai penyerang sayap.

Penampilan hebatnya di Thailand tidak hanya meraih pujian dari jurulatih dan penyokong Buriram, malah turut menarik perhatian pemerhati bola sepak serantau apabila nilai pasaran Dion Cools kini melonjak ke 1 juta Euro, bersamaan kira-kira RM4.89 juta.

 

 

Kenaikan nilai pasaran itu mencerminkan perkembangan kariernya yang semakin kukuh namun pada masa sama pasukan yang sebelum ini menunjukkan minatnya iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) semakin sukar untuk mendapatkannya.

Sebelum ini, Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) yang juga pemilik skuad Harimau Selatan memberi bayangan bahawa Cools bakal menyarung jersi Harimau Selatan pada satu hari nanti.

Dalam satu temu bual bersama Astro Arena, TMJ menjelaskan ketika ini gaji Cools terlalu tinggi dan ia adalah faktor pemain kacukan tersebut menyertai Buriram United dan bukannya mendarat di bumi Johor.

Terdahulu, Majoriti melaporkan bahawa menerusi info yang dikeluarkan oleh salarysport, Cools memperoleh €5,400 (RM27,300) untuk seminggu dan gaji tahunannya adalah sebanyak €280,800 (RM1.4 juta). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram