
SELANGOR FC manamatkan musim 2024/2025 dengan rekod yang baik apabila sekali lagi menjadi naib juara Liga Super seterusnya berjaya mara ke saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim depan.
Mereka turut menjadi naib juara Piala FA sambil membawa pulang Piala Cabaran walaupun pencapaian itu kurang diterima penyokong.
Melangkah ke musim depan, Selangor berdepan situasi di mana mereka kehilangan beberapa nama penting dalam senarai bintang import.
BACA LAGI: Tunggu masa tinggalkan Perak, ada sebab Selangor FC wajar rekrut Luciano Guaychocea
BACA LAGI: Terpisah 18 mata dengan JDT, misi Selangor kecilkan jurang bergantung 3 faktor
Kekosongan ditinggalkan oleh Safuwan harus diisi dengan pemain berkaliber. — Facebook/Selangor FC
Nama-nama seperti Safuwan Baharudin, Yohandry Orozco, Nikola Jambor dan Ali Olwan sah tidak akan bersama Gergasi Merah musim depan dan Selangor perlu mendapatkan pengganti lain untuk menguatkan pasukan.
Kesemuanya adalah rekrut berprofil tinggi dan Selangor harus bekerja keras bagi mendapatkan pengganti berkualiti supaya mereka lebih kompetitif di ACL2.
Bagi penyokong Selangor, Zulhilmi Rusdi, 29, pemergian para pemain tersebut pastinya memberikan kesan namun itu tidak bermakna kelab perlu bijak mendapatkan pemain yang tepat.
"Semestinya akan beri impak besar dari segi pengalaman dan kestabilan pasukan. Dengan pemergian tiga tonggak import seperti Safuwan, Orozco dan Jambor, Selangor bakal rasa kesannya. Tiga-tiga ni bukan biasa-biasa, tapi tunjang utama pasukan untuk musim ini.
"Tanpa mereka, Selangor akan hadapi cabaran besar untuk mengekalkan corak permainan berkualiti tinggi. Kecuali kalau jurulatih dan pengurusan bijak ganti dengan pemain yang setara atau lebih baik," ujarnya kepada Majoriti.
Posisi yang jelas penting perlu diisi Selangor musim depan semestinya adalah penyerang utama sambil pertahanan kental dan perancang berkualiti supaya mereka boleh bersaing hebat di Asia.
Selangor harus mendapatkan pemain yang bijak dalam menghidu peluang serta menterjemah setiap percubaan kepada jaringan gol.
"Selepas ketiadaan Safuwan, Selangor perlukan pertahanan tengah import yang kental bertahan dan boleh organise barisan pertahanan, komunikasi baik dan berpengalaman di peringkat tertinggi. Liga Malaysia semakin kompetitif, jadi pertahanan tak boleh lembik.
"Sementara Orozco tinggalkan kekosongan besar yang wajib diganti oleh pemain yang boleh cipta bantuan gol, kawal tempo, dan jadi pengubah perlawanan.
"Paling kita nak tengok sebenarnya bahagian penyerang tu ditukar dan diisi dengan pemain import yang lebih tajam dan berkualiti. Selangor memang perlukan penyerang import yang klinikal dan konsisten,: jelas Zulhilmi.
Melihat kepada keperluan untuk Selangor tampil lebih tajam musim depan, tidak keterlaluan untuk penyokong melihat kelab 'memecahkan tabung' bagi mendapatkan pemain berkualiti namun jangan sampai boros.
Pengurusan tidak boleh bersikap "asal boleh" dalam mendapatkan pemain. Jika tidak, sasaran besar yang diidamkan akan musnah.
"Kalau Selangor betul serius nak cipta nama di pentas Asia, pelaburan yang lebih besar dan strategik perlu dilakukan. Tapi pelaburan tak semestinya kena boros, tapi lebih kepada memperkuatkan setiap aspek kelab contohnya dari segi pemain import berkualiti tinggi, sistem latihan yang moden, sokongan pemulihan pemain, scouting dan analisis data.
"Nak main ACL2 bukan boleh 'asal boleh' sebab di situ kita berlawan dengan pasukan yang hebat di liga negara mereka. Tersangkut di peringkat kumpulan itu dah jadi isyarat yang jelas kalau tak belanja bijak & bina skuad mantap, kita hanya cukup syarat je bukan pencabar," jelas Zulhilmi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram