Sang Garuda nafi jemput Malaysia-Lubnan adakan aksi persahabatan


  • Podium
  • Sabtu, 03 Mei 2025

Skuad Harimau Malaya akan mengadakan aksi persahabatan di dalam negara sebagai persiapan menghadapi Vietnam. — Facebook/MalaysiaNT

PERSATUAN Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) memberikan maklum balas terhadap berita mengenai penganjuran kejohanan mini sepanjang tempoh hari perlawanan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dari 1 hingga 9 September 2025.

Berita tersebut disebarkan oleh akaun Instagram @theaseanfootball baru-baru ini apabila mereka memberitahu dua pasukan dilaporkan telah dijemput untuk menyertai kejohanan berkenaan iaitu pasukan kebangsaan Malaysia dan Lubnan.

"Bagaimanapun, perancangan untuk melaksanakan kejohanan ini masih boleh berubah sekiranya Indonesia berjaya mara ke pusingan keempat Kelayakan Piala Dunia 2026, yang berkemungkinan besar akan menjejaskan jadual dan penyertaan pasukan kebangsaan," kata akaun tersebut. 

BACA LAGI: Perlukan mesin cetak gol? TFC-Sabah-Penang boleh sambar 'top scorer' Liga Indonesia

BACA LAGI: 'Derita sejagat', bekas import kelab Borneo 'sangkut' 5 bulan gaji bersama kelab Indonesia

Namun begitu, ketika diminta pengesahan oleh media Indonesia iaitu Skor.id berhubung perkara tersebut, Ahli Jawatankuasa Eksekutif PSSI, Arya Sinulingga menafikan adanya perancangan menganjurkan kejohanan itu. 

"Setakat hari ini, belum ada (rancangan untuk perlawanan persahabatan antara pasukan kebangsaan Indonesia menentang Malaysia dan Lubnan)," jelas Arya Sinulingga dalam satu pesanan ringkas kepada Skor.id pada Khamis (1 Mei 2025).

Untuk makluman, pasukan kebangsaan Indonesia kini masih bersaing di pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 bagi zon Asia. Ketika ini, skuad Garuda menduduki tempat keempat dalam Kumpulan C.

Setakat ini, mereka telah mengumpul sembilan mata daripada lapan perlawanan yang telah dilalui. Di bawah kendalian Patrick Kluivert, pasukan Indonesia masih mempunyai peluang untuk layak ke Piala Dunia 2026 sekiranya berjaya menamatkan saingan sebagai dua pasukan teratas. 

Ini kerana mereka hanya ketinggalan empat mata di belakang Australia yang kini di kedudukan kedua, dengan baki dua perlawanan.

Secara realistik, peluang untuk mara ke pusingan keempat masih terbuka luas sekiranya Indonesia mampu menamatkan saingan dalam empat pasukan teratas kumpulan. 

Peluang ini dilihat cerah memandangkan dua aksi terakhir akan menemukan mereka dengan China di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta pada 5 Jun 2025, dan seterusnya menentang Jepun di tempat lawan pada 10 Jun. — Agensi 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram