[VIDEO] 'Tak tahu liga mana', duta Kedah kongsi identiti penaja musim depan, masihkah ada sinar buat Sang Kenari?


  • Podium
  • Ahad, 04 Mei 2025

Foto yang dimuat naik Irshad (kiri) bersama Mohd Daud Bakar di Facebook. — Facebook/Mohd Irshad Shafiq

STATUS mengenai masa depan Kedah Darul Aman (KDA) FC masih terus bersaing dalam saingan Liga Super pada musim depan masih kekal misteri dengan tiada perkembangan rasmi dikongsikan oleh Tan Sri Dr Daud Bakar selaku pemegang saham majoriti kelab. 

Masa depan Kedah untuk beraksi dalam saingan Liga Super semakin samar-samar apabila skuad Sang Kenari apabila mereka perlu menyelesaikan tunggakan gaji dari Disember 2024 yang berjumlah RM7 juta.

Bagaimanapun, potensi kehadiran penaja baharu boleh menyelamatkan masa depan kelab pemilik Bieziy Production dikesan apabila duta KDA FC, Mohd Irshad Shafiq memberi harapan baharu dan semangat kepada penyokong setia Sang Kenari.

BACA LAGI: ‘Jangan dah jatuh baru nak rindu’, kepak Kenari digesa bantu kelab sedang bertarung nyawa

BACA LAGI: Bagaimana aksi All Star Match di Darul Aman jadi penentu masa depan Kedah?

Dalam satu hantaran di Facebook, Irshad memuat naik gambarnya bersama Mohd Daud dan individu tidak dikenali dengan kapsyen yang memberi bayangan jelas mengenai perbincangan penajaan untuk musim hadapan.

Berkongsi kepada Majoriti mengenai perihal individu berkenaan, Irshad atau lebih dikenali sebagai CEO Bieziy mengesahkan lelaki tersebut merupakan potensi penaja skuad Hijau Kuning pada musim depan.

"Dia adalah salah seorang penaja untuk musim hadapan. Sekarang ini kami lagi mencari lagi penaja-penaja untuk musim hadapan. Perniagaan dia dekat Malaysia ini memang terkenal. Dah established 25 tahun dalam industri makanan. 

"Perniagaan dia ini kalau di pasaran memang akan produk mereka boleh dilihat di kedai mamak atau kedai-kedai warung-warung. Sekarang perbincangan masih di peringkat awal dan tidak mendalam lagi. 

"Dalam dua bulan nanti Tan Sri akan turun ke kilang penaja itu untuk tengok dia punya fasiliti. Saya yakin penaja itu dah sekarang ini dah 80 peratus bersetuju untuk menjadi penaja Kedah," katanya kepada Majoriti. 

Dalam pada itu, Irshad juga memberitahu bahawa pihak pengurusan sedang menjalankan usaha sedang giat dijalankan bagi mendapatkan dana serta penaja baharu untuk menyelesaikan masalah ini secepat mungkin.

"Sekarang kami tengah fight insya-ALLAH, kemungkinan kami berusaha sungguh-sungguh untuk menyelesaikan masalah gaji jumpa pemain-pemain. Kali terakhir saya jumpa Tan Sri minggu lepas sebab minggu ini kami ada aksi persahabatan All Star Match pada 3 Mei di Stadium Darul Aman. 

"Saya tak boleh beritahu lagi (mengenai masa depan) tapi sekarang ini bagi saya insya-ALLAH akan ada musim hadapan tapi tak tahu lagi liga mana. Tapi penaja tu mungkin untuk musim depan juga," jelasnya. 

Irshad (dua dari kiri) ketika dilantik menjadi duta KDA FC.  — Facebook/KDA FC

Sekiranya perbincangan itu membuahkan hasil, penaja baharu tersebut dijangka menjadi 'nyawa kedua' buat KDA FC untuk kembali bersaing secara kompetitif dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Kehadiran dana baharu mampu memperkukuh aspek pengurusan, gaji pemain, serta pembangunan pasukan secara keseluruhan.

Secara tidak langsung, ia juga dapat menghidupkan semula impian dan harapan penyokong setia Sang Kenari yang ingin melihat kebangkitan semula pasukan kesayangan mereka ke era kegemilangan seperti suatu ketika dahulu. — Majoriti 

    Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram