Lebih 5 musim warnai Liga Super, tonggak import Selangor, Sabah, Pahang berat hati ucap selamat tinggal


  • Podium
  • Sabtu, 03 Mei 2025

Dari kiri: Safuwan, Tae-su serta Kpah dilaporkan sudah mempunyai perancangan berbeza buat kempen akan datang

MASALAH kewangan yang membelenggu hampir separuh daripada kelab Liga Super musim ini tidak menghalang daripada khabar angin perpindahan daripada terus menghiburkan peminat bola sepak tanah air.

Ini termasuk ura-ura mengatakan gergasi seperti Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC bakal membawa wajah baharu bagi memperkuatkan skuad demi saingan Asia akan datang.

Khabar angin mengatakan pemain tempatan bakal berpindah pasukan juga kerap kedengaran dengan perkara tersebut membuktikan mereka masih memiliki nilai di mata kelab tempatan.

BACA LAGI: Gosip ke Kedah mula sunyi, Habib kini dicanang bakal sertai skuad Tok Gajah

BACA LAGI: Bintang warisan Indonesia hanya mampu ketawa, dengar khabar angin dikaitkan ke kelab elit Liga Super

JDT dan Selangor FC pasti bercita-cita besar pada jendela perpindahan kali ini.

Namun, di sebalik gosip yang menyatakan nama-nama baharu akan mewarnai saingan musim depan, kedengaran juga ura-ura bahawa beberapa pemain import akan mengucapkan selamat tinggal.

Ia termasuk nama-nama yang sudah beberapa tahun menabur bakti dalam kancah Liga Super dengan ada daripadanya sudah menghabiskan tempoh lebih lima musim dalam arena bola sepak tempatan.

Jadi, dengan usia masing-masing sudah semakin meningkat, tiba masanya untuk pihak pengurusan melepaskan mereka meskipun tahu keputusan itu sukar diterima penyokong.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti terhadap khabar angin semasa, berikut adalah tiga otai import Liga Super yang dijangka berhijrah atau menamatkan karier pada pramusim kali ini.

1. Safuwan Baharudin

Nama pertama yang seperti sudah pasti meninggalkan arena bola sepak tanah air ialah bek Selangor FC, Safuwan Baharudin selepas dia sempat memberi ucapan selamat tinggal semasa aksi terakhir Liga Super 2024/25.

Dia yang merupakan antara pemain import paling lama berkhidmat sememangnya dikenali ramai kerana pernah beraksi buat beberapa kelab lain, iaitu PDRM FC, Pahang FA serta Negeri Sembilan FC.

Malah, lama sebelum beraksi buat pasukan tempatan, tonggak skuad kebangsaan Singapura itu sudah menempa nama dalam kalangan penyokong sepanjang tiga tahun berkhidmat bersama Lions XII.

Safuwan dilaporkan akan kembali ke negara kelahirannya selepas lama beraksi dalam Liga Malaysia. Facebook/Selangor FC

Jadi, dengan usianya kini sudah mencecah 33 tahun, Safuwan akhirnya difahamkan akan kembali ke negara kelahirannya dengan keputusan tersebut sukar diterima peminat Merah Kuning.

Berdasarkan khabar angin yang kencang berterbangan, dia dilaporkan bakal menyertai finalis Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two 2024/25, Lion City Sailors meskipun tiada sebarang pengesahan diberikan.

2. Kpah Sherman

Sejak menceburkan diri dalam arena bola sepak tempatan pada 2017, Kpah Sherman berjaya mencipta nama sebagai antara pemain import paling konsisten untuk setiap pasukan disertai.

Ia bermula dengan persembahannya buat MISC-MIFA dalam Liga Perdana selama dua musim sebelum kebolehannya dihidu kelab-kelab lain, termasuk Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Terengganu FC.

Bagaimanapun, sepanjang lapan musim beraksi dalam kancah bola sepak tanah air, nama Kpah paling diingati sejak menyertai Sri Pahang FC musim lalu kerana pelbagai sumbangan dicurahkan.

Kpah sudah mewarnai arena bola sepak tempatan sejak 2017. Facebook/Sri Pahang FC

Ini termasuk kejayaan membantu pasukannya melangkah ke pentas final Piala Malaysia 2024/25, namun dia tidak berkesempatan untuk beraksi akibat penggantungan dialaminya.

Tetapi, dengan usianya sudah melebihi 30-an, terdapat kemungkinan tempohnya dalam liga tempatan akan berakhir demi memberi ruang buat nama-nama baharu menampilkan bakat.

Laporan semasa mengatakan penyerang kebangsaan Liberia itu berada dalam radar kelab Liga 1 Indonesia, Persib Bandung yang bagaimanapun juga belum memberi sebarang kata putus.

3. Park Tae-su

Sebelum ini, kapten Sabah FC, Park Tae-su pernah menyatakan hasrat untuk menamatkan karier di kelab Borneo tanah air itu yang sudah diwakilinya sejak enam tahun lalu.

Ini kerana sepanjang tempoh dihabiskan di sana, pemain kelahiran Korea Selatan tersebut berjaya mencipta kenangan indah dengan cita-citanya turut disokong peminat pasukan.

Bagaimanapun, baru-baru ini, dia tampil membuat hantaran dengan menyatakan perasaan maaf selepas kurang memberi impak akibat kecederaan sambil menegaskan perasaannya buat Sabah FC tidak pernah luntur.

Tae-su seperti sudah memiliki masa depan baharu bagi kempen akan datang. Facebook/Sabah FC

Meskipun tidak dipastikan maksud sebenar di sebalik hantaran itu, ramai beranggapan Tae-su akan mengucapkan selamat tinggal setelah kedengaran khabar angin sedemikian baru-baru ini.

Namun, ramai juga percaya perkongsian berkenaan menyatakan keterbukaannya untuk menamatkan karier memandangkan usianya sudah mencecah 35 tahun dengan terdapat lambakan pemain muda sedia diberi peluang.

Walaupun apa pun situasinya, ia menceritakan bahawa seorang lagi import setia Liga Super akan mengucapkan selamat tinggal dengan pemergiannya pasti dikenang penyokong Sang Badak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram