Penang hilang 'orang besi', kembali ke pangkuan Gergasi Merah ubati pemergian Safuwan Baharudin


  • Podium
  • Selasa, 29 Apr 2025

Richmond Ankrah akan kembali ke Selangor musim depan. — Penang FC

SELANGOR FC dilihat bakal mendapatkan semula bekas pemain pertahanan dari Ghana iaitu Richmond Ankrah bagi menguatkan skuad musim hadapan.

Pertahanan tengah berusia 25 tahun itu dilaporkan bersedia untuk kembali semula ke Selangor selepas semusim berdepan sesi pinjaman bersama Penang FC.

Menurut pemerhati bola sepak tempatan, Fadhirul Shuhaimi, pemain itu dijangka akan kembali ke Selangor dengan Penang tidak berpeluang memperbaharui pinjaman mereka terhadap pemain itu.

BACA LAGI: Safuwan pilih pulang ke kampung halaman, sertai bakal juara ACL2

BACA LAGI: Dicemuh Ultrasel, jodoh kembali bertaut bersama Gergasi Merah antara 3 momen Safuwan Baharudin dalam ingatan

"Tonggak pertahanan import kelahiran Ghana, Richmond Ankrah bakal kembali memperkuatkan Selangor FC bagi saingan Liga M musim 2025/26," kata Fadhirul.

Tambah Fadhirul lagi, Ankhrah melakukan 20 penampilan bersama Harimau Kumbang pada musim 2024/2025 dalam saingan liga sambil mengutip tiga kad kuning.

Selain itu, pemain itu turut tidak menjaringkan sebarang gol atau bantuan gol buat Harimau Kumbang musim ini.

Kepulangan semula Ankrah ke Selangor dilihat signifikan dengan dia dijangka diberikan watak lebih besar dalam skuad Gergasi Merah.

Ankhrah dilihat akan memainkan peranan menggantikan ketua pasukan, Safuwan Baharudin yang dilaporkan tidak bersama Selangor musim depan.

Dia dilaporkan akan kembali ke negaranya, Singapura dan akan menyertai Lion City Sailors.

Dalam pada itu, seorang lagi pemain Selangor yang dipinjamkan ke Penang musim ini, Sikh Izhan Nazrel masih menantikan sama ada akan pulang ke Gergasi Merah atau terus dipinjam keluar.

Dengan pemergian Khairulazhan Khalid, mungkin ia membuka ruang buat Sikh Izhan untuk mendapatkan tempat sekali gus mencabar Kalamullah Al-Hafiz sebagai penjaga gol utama Selangor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram