TEMPOH perkhidmatan pemain tengah, Habib Haroon bersama Terengganu FC berakhir penghujung musim lalu setelah dia diumumkan sebagai salah seorang yang bakal dilepaskan kelab Pantai Timur itu.
Meskipun beraksi sebagai kapten dalam skuad kendalian Tomislav Steinbruckner, isu disiplin dan komunikasi dikatakan punca utama jeneral berkenaan dilepaskan.
Keputusan berkenaan pastinya menimbulkan kesangsian dalam kalangan penyokong yang sukar berpisah dengan pemain setelah tiga tahun menyaksikan aksinya di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.
Bagaimanapun, dengan skuad Sang Penyu seperti sudah mempunyai hala tuju tersendiri, ketiadaan Habib pasti akan segera diuruskan Tomislav bagi saingan akan datang.
BACA LAGI: Dilabel pengganti Habib Haroon, Akram Mahinan mahu bantu TFC muncul ‘Top 3’ Liga Super
Habib (tengah, atas) diumumkan tidak akan lagi bersama skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Namun, persoalan yang timbul dalam kalangan penyokong pasukan itu adalah apabila mereka tertanya-tanya destinasi seterusnya buat Habib selepas ini.
Berdasarkan berita di media sosial, terdapat kemungkinan Habib akan kembali ke negara kelahirannya, Bahrain untuk meneruskan karier musim depan.
Tetapi, dalam perkembangan berbeza, tonggak berusia 23 tahun itu juga dikatakan bakal bergabung dengan bekas ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain di Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Khabar angin itu boleh dianggap sebagai satu hal yang logik buat kesemua pihak memandangkan skuad Sang Kenari memerlukan seseorang di posisi berkenaan.
BACA LAGI: Akram sah tinggalkan KL City, bakal jadi pengganti Habib di Terengganu?
Nafuzi merupakan faktor utama khabar angin mengaitkan Habib dengan skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC
Di samping itu, Habib yang pernah beraksi selama dua musim bersama pengendali kelahiran Kelantan tersebut pasti tidak akan berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri.
Bagaimanapun, hasrat tersebut pasti sukar untuk direalisasikan memandangkan kelab Utara tanah air berkenaan tidak mempunyai dana mencukupi seperti mana dihadapi mereka sepanjang musim lalu.
Jadi, isu berkenaan menyaksikan Habib tidak mempunyai pasukan sehingga kini, sekali gus membukan peluang buat mana-mana kelab mendapatkan khidmatnya.
Namun, dalam perkembangan baharu, terdapat laporan mengatakan sebuah lagi pasukan Liga Super iaitu Sri Pahang FC berminat untuk membawanya masuk ketika jendela perpindahan kali ini.
Skuad Tok Gajah memerlukan seorang pemain tengah berkualiti ketika ini. — Facebook/Sri Pahang FC
Khabar angin itu berpunca daripada satu perkongsian di laman sesawang transfermarkt yang mengatakan pemain tengah itu bakal kekal di Pantai Timur.
Hal tersebut sememangnya sukar untuk ditepis kerana skuad Tok Gajah memerlukan seseorang di posisi berkenaan kerana mereka juga dikaitkan dengan bekas pemain tengah Selangor FC, Brendan Gan.
Tetapi, sekiranya perkara itu direalisasikan, pasukan kendalian Fandi Ahmad semestinya akan mendapat satu kelebihan dengan Habib memiliki pengalaman cukup luas.
Untuk rekod, pemain terbabit memiliki 49 penampilan Liga Super sepanjang bersama Terengganu FC serta beberapa lagi dalam saingan peringkat domestik dan Asia.
Kehadirannya membantu menaikkan skuad Sang Penyu ke tahap lebih tinggi apabila dia menjadi watak utama ketika mereka meraih slot dalam pentas akhir Piala FA 2022 dan Piala Malaysia musim lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram