
SATU masa dahulu, kehadiran penyerang Thailand, Adisak Kraisorn ke Liga Super menjadi tumpuan.
Mana tidaknya, penyerang sensasi Thailand itu mencipta kejutan dengan menyertai Terengganu FC selepas membantu negaranya memenangi Piala Asean 2022.
Kehadirannya ke Terengganu nyata mengujakan para penyokong kerana kelab Pantai Timur itu berjaya merekrut penyerang berkualiti sepertinya.
BACA LAGI: Pengalaman berdepan tunggakan gaji import 5 tahun lalu, TFC tahu cara efektif selesaikan isu Adisak
BACA LAGI: Adisak dianggap membazir, duo ubi muda mampu ketuai serangan Terengganu
Namun begitu, impian tidak menjadi kenyataan apabila Adisak mengalami kesukaran untuk beraksi di Liga Super dan dia cuma bertahan selama semusim.
Di Terengganu, Adisak menghasilkan 28 penampilan namun cuma menghasilkan empat gol dan tiga bantuan gol. Ia sekali gus membuatkan penyokong berasakan dia adalah flop.
Akan tetapi, nasibnya tidak lagi seperti semasa di Terengganu. Hal ini kerana, Adisak kini bergelar seorang juara di negara asalnya iaitu Thailand.
Menyertai Chonburi FC yang bermain dalam saingan divisyen dua Thailand, persembahan Adisak berjaya membantu kelab itu untuk muncul juara.
Ia sekali gus berjaya membawa Chonburi kembali ke Thai League 1 yang turut disertai oleh Buriram United dan BG Pathum United.
Musim ini, Adisak tampil cemerlang untuk Chonburi apabila menghasilkan 15 gol dalam 28 perlawanan liga sambil mencatatkan empat bantuan gol.
Ia merupakan satu kempen yang cemerlang buat Adisak dan Chonburi dan penyerang berusia 34 tahun itu masih belum hilang sentuhan penyudahnya.
Chonburi bergelar juara dengan mengutip 63 mata, tiga mata di hadapan pencabar terdekat iaitu Ayutthaya United. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram