
"TIDAK semestinya setiap perlawanan liga menggunakan pengadil dari luar".
Demikianlah pandangan pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli ketika mengulas cadangan penggunaan pengadil import dalam saingan bola sepak tempatan.
Isu tersebut timbul selepas Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), Nualphan Lamsam baru-baru ini mengumumkan bahawa Liga Thailand akan mula menggunakan khidmat pengadil luar negara.
BACA LAGI: Tunggu masa tinggalkan Perak, ada sebab Selangor FC wajar rekrut Luciano Guaychocea
Mengulas perkara tersebut, Pekan menegaskan bahawa penggunaan pengadil import untuk setiap perlawanan bukanlah satu keperluan terutama kerana ia melibatkan kos yang tinggi.
"Tidak semestinya gunakan pengadil import untuk semua perlawanan. Sudah tentu kosnya sangat tinggi kerana bayaran mereka dalam dolar Amerika.
"Gunakan pengadil import dalam perlawanan terpilih sahaja atau seperti Thailand bermula musim ini mereka akan menggunakan pengadil import bagi semua perlawanan perebutan piala bermula dari peringkat separuh akhir.
"Thailand juga sama seperti Malaysia mahu memastikan mutu pengadilan lebih telus dan terbuka," katanya kepada Majoriti.
Kancah bola sepak tanah air pernah menggunakan khidmat pengadil luar iaitu Takuto Okabe dari Jepun (dua kanan) untuk mengadili perlawanan akhir Piala FA 2019. — Facebook/MFL
Beliau turut menjelaskan bahawa langkah itu sebenarnya bertujuan memastikan mutu pengadilan yang lebih telus dan terbuka sama seperti hasrat yang dikongsi oleh Malaysia.
Dalam masa sama, Pekan menolak tanggapan bahawa kehadiran pengadil luar akan menjejaskan keyakinan terhadap pengadil tempatan.
Sebaliknya, beliau melihatnya sebagai satu bentuk cabaran positif kepada mereka.
"Bagi saya walaupun kita terpaksa menggunakan pengadil import ia tidaklah sampai memberi impak yang negatif kepada pengadil tempatan.
"Anggaplah ia sebagai satu cabaran kepada pengadil tempatan untuk bertugas dengan lebih cemerlang.
"Jadikan ini sebagai satu pertandingan yang sehat dan kaedah pemindahan ilmu (transfer knowledge) yang perlu diambil kesempatan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram