Penang FC bercita-cita besar ke pentas Asia, siap ada 'bayangan' skuad utama musim depan


  • Podium
  • Rabu, 30 Apr 2025

Penang FC yang menutup saingan Liga Super 2024/2025 dengan berada di kedudukan ke-10. — Facebook/PenangFC

PENANG FC dijangka memperkenalkan beberapa pemain baharu yang berpotensi untuk mengukuhkan kesebelasan utama pasukan Harimau Kumbang pada musim depan.

Saingan Liga Super 2024/2025 yang baru sahaja berakhir menyaksikan Johor Darul Ta'zim (JDT) kekal sebagai pasukan terunggul Liga Malaysia (Liga M), dengan mencatatkan 11 kejuaraan dalam saingan tertinggi domestik itu.

Sementara itu, pasukan lain menghadapi musim yang penuh cabaran, dengan beberapa kelab terjejas oleh isu kewangan, sementara ada yang kekal stabil di kedudukan sama seperti musim lalu.

BACA LAGI: Bukan saja Akmal Rizal, legenda Harimau Malaya juga tabik Ibrahim Manusi, harap diberi peluang

BACA LAGI: 'Sayang jika bakat tersekat', Patrick Vieira Malaysia patut jadikan kelab Pantai Timur, Utara sebagai destinasi

Ramalan kesebelasan utama Penang FC musim depan.

Walaupun Harimau Kumbang berada di kedudukan ke-10 dalam saingan Liga Super 2024/2025, dengan rekod enam kemenangan, lapan seri dan selebihnya tewas dalam 24 perlawanan dilihat sudah bersedia untuk menghadapi saingan musim depan.

Pasukan Utara tanah air itu kini dikatakan sedang mempersiapkan diri untuk cabaran Liga M musim depan dengan beberapa nama besar disebut-sebut bakal menyertai Penang FC.

Baru-baru ini, penyokong setia Penang FC telah mengeluarkan senarai kesebelasan utama yang cukup menarik seolah-olah memberi amaran kepada pasukan lain.

Walaupun belum ada pengesahan rasmi, tidak mustahil pemain-pemain tersebut akan membuat keputusan untuk menyertai Harimau Kumbang pada musim depan.

Daripada senarai kesebelasan utama pasukan, beberapa tonggak utama Penang FC seperti kapten pasukan, Rafael Vitor, Adib Ra’op dan Dylan Wenzel-Halls dikekalkan.

Oleh itu, terdapat lima pemain yang berkemungkinan besar akan disambar oleh Penang FC sebagai persiapan untuk saingan Asia musim depan.

Kontrak Haziq Nadzli bersama Perak FC bakal tamat pada 30 April ini. — Facebook/Perakfc

1. Haziq Nadzli

Kontrak penjaga gol kebangsaan, Haziq Nadzli bersama Perak FC akan tamat pada 30 April ini.

Namanya kini dikaitkan dengan Penang FC kerana jika kembali ke JDT, Haziq berkemungkinan sukar untuk merebut tempat utama di posisi penjaga gol, memandangkan posisi itu kini didominasi oleh Ahmad Syihan Hazmi.

Dengan Sikh Izhan Nazrel dijangka meninggalkan Penang FC musim depan, ruang tersebut terbuka bagi Haziq untuk mengisi posisi tersebut.

Bekas penyerang import Penang FC, Lucas da Silva. — Facebook/PenangFC

2. Lucas da Silva

Gandingan bekas import Penang FC, Lucas da Silva dan penyerang PDRM FC, Bruno Suzuki di bahagian hadapan dijangka dapat memperkukuhkan jentera serangan Penang FC.

Bruno, yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sejak menyertai PDRM pada awal 2023, turut menjadi sasaran Penang FC.

Kedua-dua pemain tersebut memiliki kelajuan dan kelincahan yang sangat diperlukan oleh seorang penyerang dan gandingan mereka dijangka mampu menarik minat penyokong yang merindui persembahan Lucas di atas padang.

Lucas yang menyertai Penang pada musim 2022, meninggalkan pasukan pada musim 2023 dan kini dikatakan berpotensi kembali ke Harimau Kumbang.

Richmond Ankrah dilaporkan bakal kembali ke Lembah Klang musim depan. — Facebook/PenangFC

3. Richmond Ankrah

Pemain pinjaman dari Selangor FC, Richmond Ankrah, turut disebut-sebut sebagai calon utama untuk kesebelasan utama Penang FC.

Sebagai pertahanan tengah, kekebalannya banyak membantu Penang dalam mengekang serangan lawan.

Walau bagaimanapun, impian untuk melihat Ankrah kembali beraksi bersama Penang tampaknya tidak tercapai kerana kontrak pinjamannya bersama Harimau Kumbang tidak diperbaharui.

Ankrah dilihat akan menggantikan ketua pasukan Safuwan Baharudin, yang dikatakan tidak bersama Selangor musim depan.

Bek The City Boys, Declan antara pemain yang dicanang ke Penang FC. — Facebook/KLCityfc

4. Declan Lambert

Bek kanan Kuala Lumpur City FC, Declan Lambert antara nama yang turut dikaitkan untuk beraksi di bahagian pertahanan Penang FC.

Gandingan Lambert bersama Rafael Vitor, Richmond Ankrah dan Ariff Farhan dijangka dapat mengukuhkan benteng pertahanan Penang FC.

Tidak mustahil, pertahanan Penang musim depan akan menjadi sukar ditembusi oleh mana-mana pasukan.

Ariff Farhan merupakan bek kiri KDA FC. — Facebook/KDAFC

5. Ariff Farhan

Bek kiri Kedah Darul Aman FC, Ariff Farhan Mohd Isa, dilaporkan menerima tawaran daripada Penang FC.

Perpindahan itu dijangka berlaku susulan masalah kewangan yang dihadapi oleh Kedah.

Ariff Farhan, yang merupakan tonggak utama Kedah dalam beberapa musim terakhir, terkenal dengan larian pantas serta kemampuannya menyokong serangan dari sayap kiri.

Kehilangan pemain ini pastinya akan dirasai oleh Kedah dari segi kestabilan pertahanan dan pengalaman yang dimilikinya.

Selain itu, pemain tengah Sri Pahang FC, Ibrahim Manusi, kapten Perak FC, Luciano Guaycochea dan Firdaus Saiyadi turut diramal berada dalam kesebelasan utama pasukan.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram