Duduk ‘bench’ pun tak mengapa, 3 manfaat termasuk kebajikan terjamin jika Haqimi Azim pilih JDT


  • Podium
  • Khamis, 01 Mei 2025

Haqimi Azim dilaporkan bakal meninggalkan KL City FC selepas masalah pengurusan yang terus membelenggu kelab itu.

SEMAKIN kencang khabar angin mengatakan Kuala Lumpur (KL) City FC tidak akan berentap musim depan berikutan masalah tunggakan gaji yang sekali gus bakal menyukarkan proses perolehan lesen kebangsaan.

Situasi menyaksikan beberapa pemain mula mencari kelab baharu, termasuk Haqimi Azim Rosli yang kuat dikaitkan dengan perpindahan ke Johor Darul Ta'zim (JDT) pada jendela kali ini.

Dia yang sudah lama diburu kelab-kelab gergasi tanah air seperti akan memilih pasukan Selatan tanah air tersebut kerana peluang sebegitu begitu sukar untuk ditolak mana-mana pemain.

BACA LAGI: Disebut mahu sertai kelab besar seperti Selangor, Haqimi diingat perbaiki prestasi dulu

BACA LAGI: [VIDEO] Tindakan 'passing' Haqimi Azim buat fans geleng kepala, mula bandingkan dengan pemain Eropah

Namun, timbul pula kerisauan dalam kalangan peminat yang beranggapan pilihan tersebut tidak sesuai bagi penyerang berusia 22 tahun tersebut kerana minit permainan di JDT tidak dijanjikan.

Ini kerana pengalaman lalu menyaksikan beberapa pemain kian dilupakan selepas terus diletakkan di bangku simpanan dengan minit permainan terhad hanya membawa kesan buruk terhadap karier masing-masing.

Bagaimanapun, peluang terhad sebegitu tidak boleh dijadikan alasan untuk Haqimi menolak tawaran skuad Harimau Selatan kerana masih terdapat pelbagai manfaat boleh diraih.

1. Fasiliti serba lengkap

Sepanjang bergelar pemain profesional, Haqimi yang hanya pernah mewakili skuad Warga Kota tidak berkesempatan menikmati kemudahan latihan mencukupi kerana pihak pengurusan kelab gagal menyediakannya.

Masalah itu dapat disaksikan apabila KL City FC terpaksa mengubah pusat latihan sebanyak beberapa kali selain pemain terpaksa mengeluarkan duit sendiri sekiranya mahu mengadakan sesi peribadi di gimnasium.

Peluang berlatih di pusat latihan Harimau Selatan sukar ditolak mana-mana pemain. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Situasi sebaliknya akan dapat dinikmati Haqimi sekiranya dia memilih untuk menyertai JDT yang memiliki fasiliti serba lengkap yang menekankan aspek sains sukan.

Di samping memiliki padang latihan bermutu tinggi, kelab Selatan tanah air tersebut turut menyediakan kemudahan sekiranya pemain mengalami kecederaan dengan akses turut diberikan kepada mereka yang berada dalam skuad muda.

Fasiliti sedemikian akan memberi kelebihan buat Haqimi yang memerlukan bantuan daripada pihak kelab untuk menjadi pemain lebih lengkap dari segi fizikal mahupun mental.

2. Kebajikan terjamin

Seperti mana dinyatakan di atas, masa depan KL City FC dalam Liga Super musim depan seperti tidak terjamin selepas laporan mengatakan bayaran gaji tertunggak untuk kira-kira lima bulan.

Masalah berkenaan menyaksikan pemain yang terkesan, termasuk Haqimi Azim gagal menampilkan persembahan terbaik kerana diri masing-masing dirasakan tidak dihargai pihak pengurusan.

Skuad Warga Kota mengalami masalah pengurusan cukup teruk kebelakangan ini. Facebook/Kuala Lumpur City

Jadi, dalam usaha mengelak perasaan itu timbul sekali lagi, rata-rata daripada mereka perlu mencari kelab yang tidak mengalami masalah gaji, baik di dalam mahupun di luar negara.

Haqimi Azim yang sudah ditawarkan peluang beraksi buat JDT semestinya tidak boleh menolak tawaran sebegitu kerana dia mampu mengaut keuntungan daripada bayaran gaji lumayan.

Jumlah ditawarkan kelab berkenaan sudah tentu berbaloi dengan masalah kewangan bukanlah isu bagi pasukan yang mahu melangkah lebih tinggi di pentas Asia musim depan.

3. Daya saing meningkat

Sepanjang tiga musim beraksi buat pasukan senior KL City FC, tempat Haqimi dalam kesebelasan utama seolah-olah terjamin meskipun dia kurang memberi sumbangan setiap kali diturunkan.

Peluang sedemikian akan memadam perasaan buat pemain berusia 22 tahun itu untuk meningkatkan mutu persembahan kerana dia tahu namanya akan diletakkan dalam kesebelasan utama disebabkan barisan kejurulatihan tidak mempunyai banyak pilihan.

Haqimi perlu bekerja keras sekiranya mahu menembusi skuad Harimau Selatan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Tetapi, sekiranya dia memilih untuk menyertai JDT, tempatnya dalam pasukan hanya akan diberikan sekiranya dia dapat memanfaatkan setiap minit permainan diberi mahupun memberi 100 peratus di padang latihan.

Cabaran sedemikian akan menanam daya saing dalam diri penyerang Harimau Muda itu yang sekali gus mendesaknya supaya keluar daripada zon selesa demi karier sendiri.

Haqimi juga tidak perlu gusar akan perasaan pilih kasih dalam pasukan kerana pihak kejurulatihan JDT yang bersikap profesional tidak akan menepikan mereka dengan kesungguhan dan keazaman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram