[VIDEO] 'Penat Piala Malaysia pun belum habis, comel je,' Arif Aiman buktikan bintang bola sepak bukan setakat skor gol


  • Podium
  • Rabu, 30 Apr 2025

Arif Aiman banyak membantu skuad Harimau Selatan menjulang lebih banyak gelaran. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

PEMAIN Paling Bernilai (MVP) empat kali berturut-turut, Arif Aiman Hanapi menunjukkan sisi berbezanya yang mengagumkan penyokong tempatan dalam sebuah sesi siaran langsung di aplikasi TikTok baru-baru ini.

Dalam siaran tersebut, Arif Aiman dilihat meluangkan masa berinteraksi dengan para peminatnya secara santai, tetapi satu momen yang paling mencuri perhatian ialah apabila dia mengajak seorang individu Orang Kurang Upaya (OKU) untuk berkomunikasi bersama.  

Tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) itu melayani peminat pekak berkenaan dalam bahasa isyarat ringkas dan bertukar-tukar nota dengan menulisnya di telefon pintar untuk ditunjukkan kepada lelaki yang dikenali sebagai Bek tersebut. 

BACA LAGI: [VIDEO] Heberty akui Pahang sukar ditangani, Jun-heong terus cium Arif Aiman lepas selamatkan nasibnya

BACA LAGI: Lepas bantu JDT nikmati musim bersejarah, Arif Aiman 'aim' rekod peribadi

Walaupun gerakannya tidak sempurna, usaha pemain sayap kebangsaan itu jelas menunjukkan keikhlasan dan niat untuk difahami oleh semua termasuk golongan kelainan upaya pendengaran.

Tindakan spontan itu bukan sahaja mengejutkan penonton lain, malah turut mengundang pelbagai reaksi positif dalam kalangan penyokong JDT dengan ramai yang memuji sikap rendah diri dan keprihatinan Arif Aiman. 

Para penyokong JDT mula membanjiri ruangan komen dengan pujian, menyifatkan pemain berusia 22 tahun berkenaan bukan sahaja berbakat besar di padang tetapi juga mempunyai hati yang mulia. 

"Terima kasih kepada Arif Aiman layan orang pekak tapi dia faham sampai dia tunjuk syarat," kata penyokong Harimau Selatan, Bang Khai.

"Comel Arif Aiman. Baik dia kerana sudi luangkan masa layan peminat dia yang seorang itu," komen pengikut JDT, Acik Uda.

"Arif Aiman memang baik sebab sanggup melayan peminat begini, penat Piala Malaysia pun belum habis lagi," kata seorang lagi penyokong Harimau Selatan, Zainah Abdullah. 

Dalam usia yang masih muda, Arif Aiman sekali lagi membuktikan bahawa menjadi pemain bola sepak bukan hanya tentang menjaringkan gol, tetapi juga bagaimana membawa nilai murni kepada masyarakat.

Sabtu minggu lepas, Arif Aiman dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Piala Malaysia selepas golnya pada separuh masa kedua membantu JDT menewaskan Sri Pahang FC dengan keputusan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram