
PEMAIN sayap skuad kebangsaan, Safawi Rasid dikatakan akan kembali ke pangkuan Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas tempoh pinjamannya bersama Terengganu FC tamat tidak lama lagi.
Perpindahan itu dijangka berlaku apabila kontraknya bersama pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur itu berakhir pada 30 Jun depan menurut Transfermarkt.
Perkara tersebut dikongsikan oleh pemerhati sukan tanah air, Zulhelmi Zainal Azam yang melaporkan anak jati Dungun, Terengganu itu berkemungkinan besar akan kembali ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI) selepas setahun memperkuatkan negeri kelahirannya.
BACA LAGI: Tunggu masa tinggalkan Perak, ada sebab Selangor FC wajar rekrut Luciano Guaychocea
"Welcome back Safawi, difahamkan Safawi Rasid pulang ke pangkuan JDT selepas tempoh pinjaman bersama Terengganu berakhir 30 Jun 2025," katanya di laman X.
Kepulangannya ke JDT pastinya mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan yang ingin melihat semula gandingannya bersama barisan bintang di kelab gergasi Liga Malaysia itu.
Namun, sambutan terhadap kepulangan Safawi ke JDT tidak diterima dengan baik oleh penyokong Sang Penyu.
Hal ini kerana, segelintir daripada mereka bimbang bahawa kepulangan Safawi ke JDT akan memberi kesan negatif terhadap gaya permainannya serta minit permainan yang mungkin terbatas.
Penyokong juga merasakan bahawa dengan saingan sengit di barisan pemain JDT, peluang pemain sayap kanan itu untuk beraksi di atas padang akan menjadi sangat terhad.
Menurut beberapa penyokong, mereka bimbang sekiranya kehadiran Safawi di JDT hanya akan memanaskan bangku simpanan kerana kedudukan Pawi yang mungkin tidak terjamin dalam kesebelasan utama.
"Main dekat JDT, confirm susah nak dapat first eleven, umpama sarang tebuan jangan dijolok," kata @Ekor_Harimau.
"Kekal di Terengganu lagi baik, gaji pun on time juga," kata @hamizan.
"Kalau nak minit permainan better stay Terengganu melainkan nak duduk bench," kata @azim.
Untuk rekod, Safawi melakukan 35 penampilan buat Terengganu sepanjang musim 2024-25 selain menghasilkan 18 gol dan empat bantuan jaringan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram