
SPEKULASI mengenai penyertaan Sri Pahang FC dalam saingan Liga Super musim depan terus menjadi tanda tanya, meskipun beberapa pemain dilaporkan mahu pasukan itu meneruskan aksi di pentas tertinggi bola sepak kebangsaan.
Di sebalik ketidaktentuan itu, beberapa pemain dilihat sudah mula merangka masa depan masing-masing, termasuk mencari destinasi baharu bagi meneruskan karier.
Antara yang menjadi tumpuan ialah bekas pemain Negeri Sembilan FC, Sean Selvaraj yang kini dilaporkan sedang meneliti beberapa tawaran daripada kelab lain termasuk dari Lembah Klang.
BACA LAGI: Penang FC bercita-cita besar ke pentas Asia, siap ada 'bayangan' skuad utama musim depan
Difahamkan, Selangor FC, pasukan yang pernah diwakilinya sebelum ini turut berminat untuk mendapatkan kembali khidmat pemain sayap lincah itu.
Meskipun perbincangan masih di peringkat awal, Sean menyatakan hasratnya untuk terus kekal bersaing dalam Liga Super, di samping mahu lebih dekat dengan keluarganya di Seremban, Negeri Sembilan.
“Saya sangat gembira jika dapat kembali. Secara jujurnya, ia lebih baik kerana dekat dengan keluarga, terutamanya ibu saya yang tinggal bersendirian di Port Dickson, Seremban.
"Kalau dekat, jadi lebih mudah untuk menjaganya. Dalam masa sama, saya mahu kekal dalam Liga Super,” katanya menerusi laporan Stadium Astro.
Menambah lagi tanda tanya mengenai masa depannya bersama Tok Gajah, Sean turut memuat naik satu pesanan penuh emosi di laman Instagram, yang seolah-olah memberi bayangan akan meninggalkan kelab tersebut.
“Mungkin salah satu musim paling sukar dan paling panjang yang pernah saya lalui. Pasukan mempunyai begitu banyak potensi dan bekerja keras melalui masa-masa sukar, namun akhirnya kami tetap gagal untuk menjulang trofi.
“Walau bagaimanapun, saya sangat berbangga dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan ini bersama mereka, dan untuk seketika, saya terasa seperti seorang juara walaupun ia tidak menjadi kenyataan.
“Terima kasih atas semua kenangan kepada Sri Pahang FC. Saya benar-benar bersyukur,” tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram